
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Jenayah Menyamar Rakan Pinjam Duit Pengarah Jsjk
Penerima mesej sama ada menerusi WhatsApp atau Telegram ramai terperdaya kerana penjenayah mengguna profil gambar dan nombor telefon mangsa untuk meminta pinja...
Petaling Jaya, 3 April 2022 - Jenayah menyamar sebagai 'rakan' dan meminta pinjam wang dengan alasan akaun bank ada masalah semakin menjadi-jadi.
Penerima mesej sama ada menerusi WhatsApp atau Telegram ramai terperdaya kerana penjenayah mengguna profil gambar dan nombor telefon mangsa untuk meminta pinjam 'segera' sekitar RM500 hingga RM2,000.
Lazimnya mangsa cepat terpedaya bukan sahaja disebabkan profil gambar mangsa tetapi jumlah pinjaman tidak banyak selain penjenayah itu berjanji untuk membayar semula pada keesokan harinya.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam tempoh 2021 hingga Mac lalu sebanyak 1,092 kes penipuan penyamaran sebagai 'rakan' dengan membabitkan kerugian RM7.1 juta dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, jumlah itu melibatkan 778 kes dengan kerugian RM4.8 juta pada tahun lalu manakala sejak Januari hingga Mac lalu, sebanyak 314 kes berlaku membabitkan RM2.3 juta kerugian.
Dato' Mohd Kamarudin memberitahu, modus operandi penjenayah ialah menyamar sebagai rakan sebelum menghubungi mangsa menerusi WhatsApp, Telegram dan Facebook untuk meminjam wang.
Malah menurut beliau, sejak awal tahun ini, sindiket penyamaran ini semakin menyasarkan akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan untuk meminjam wang.
"Pemilik sebenar akaun Telegram hanya menyedari perkara itu apabila akaun mereka tidak dapat diakses atau menerima panggilan daripada kenalan berkenaan kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat sebagai langkah pencegahan " katanya.
Berikutan itu, katanya, pengguna Telegram dinasihatkan untuk mengaktifkan penetapan pin keselamatan “two step verification” bagi mengelakkan akaun mereka digodam.
Ikuti pendedahan lanjut oleh Pengarah JSJK, CP Dato’ Mohd Kamarudin Md Din berkenaan modus operandi sindiket penyamaran rakan bagi meminjam wang menerusi keratan akhbar terbitan Utusan Online seperti di lampiran.