
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Integrasi Teknologi Kecekapan Insan Strategi Wujud Sekolah Selamat
Kuala Lumpur, 10 November 2025 - Sekolah seharusnya bukan sahaja menjadi tempat murid menimba ilmu, tetapi lebih penting lagi, tempat memastikan mereka berasa...
Kuala Lumpur, 10 November 2025 - Sekolah seharusnya bukan sahaja menjadi tempat murid menimba ilmu, tetapi lebih penting lagi, tempat memastikan mereka berasa selamat daripada pelbagai aspek seperti digariskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sekolah yang benar-benar selamat bukan sekadar memiliki persekitaran bangunan dan fasiliti yang baik, tetapi menampiIkan hubungan sosial dan profesional menyokong murid serta guru, di samping sistem mendengar dan bertindak terhadap isu murid.
Usaha kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah adalah langkah baik. CCTV berperanan penting sebagai bukti rakaman sekiranya tiada saksi bagi kes serius seperti buli, vandalisme atau kecurian. Namun, pemasangan CCTV ini perlu dipastikan berfungsi secara berterusan dan bukan sekadar hiasan di sekolah.
Kerjasama antara pihak sekolah dan polis dilihat mampu mewujudkan rasa selamat dalam kalangan semua yang terbabit dalam ekosistem sekolah.
Polis perlu dilihat sebagai rakan komuniti yang bukan sahaja tegas, tetapi memiliki sifat empati dan penyayang kerana mereka juga bapa kepada anak, abang kepada adik dan anggota masyarakat prihatin.
Rondaan mereka di kawasan sekolah wajar dilihat dari sudut positif iaitu murid berasa terancam atau berisiko menjadi mangsa buli akan lebih berasa selamat, manakala murid cenderung melakukan kes disiplin akan berasa gentar untuk berbuat demikian.
Oleh itu, guru, kaunselor dan Polis Diraja Malaysia perlu bekerjasama melalui jawatankuasa pemantauan dan pemuafakatan bagi memastikan setiap tindakan diambil bersifat pendidikan dan pencegahan, bukan hukuman semata-mata.