
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Dua Remaja Wanita Disyaki Pengintip Tekong Darat Ditangkap Anggota Pga
Tumpat, 20 April 2026 - Dua remaja perempuan yang dipercayai berperanan sebagai pengintip kepada tekong darat untuk kegiatan menyeludup sembilan pendatang asin...
Tumpat, 20 April 2026 - Dua remaja perempuan yang dipercayai berperanan sebagai pengintip kepada tekong darat untuk kegiatan menyeludup sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan di Bandar Baru Pasir Pekan, di sini, kelmarin.
Kedua-dua remaja berusia 17 dan 18 tahun ditahan jam 5.05 pagi ketika sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua remaja itu ditahan susulan anggota PGA menahan seorang tekong darat yang membawa seramai sembilan PATI di kawasan berkenaan.
"Sebelum remaja perempuan itu ditahan, kita menahan seorang tekong darat berusia 24 tahun selepas menahan kereta Iswara Aeroback yang membawa sembilan PATI di kawasan berkenaan jam 5.00 pagi.
"Seorang remaja yang ditahan mengaku dia berperanan sebagai pengintip bagi membantu urusan penghantaran PATI dengan menerima bayaran sebanyak RM150 daripada tekong darat.
"Seorang lagi remaja itu pula memaklumkan dia menemani rakannya ketika mengintip.
"Pemeriksaan terhadap telefon bimbit seorang remaja itu mendapati ada komunikasi antara remaja terbabit dengan tekong darat itu," katanya ketika dihubungi.