
Keratan Akhbar Pilihan Awas Penjenayah Siber Hidupan Liar Anda Dalam Radar Pihak Berkuasa
Johor Bahru, 23 November 2020 - Sindiket pemerdagangan hidupan liar dan individu tertentu kini mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan menjual binatang yang dilindungi menerusi media sosial terutama Facebook.
Kegiatan penjualan haiwan liar secara haram itu disyaki didalangi rakyat tempatan yang bertindak sebagai orang tengah kepada penjual yang terdiri daripada pemburu haram, peniaga dan pembiak baka binatang.
Pemerhatian Kosmo! di beberapa akaun Facebook mendapati, aktiviti mempromosi jualan hidupan liar yang dilindungi begitu aktif.
Bagaimanapun, kebanyakan akaun Facebook itu hanya dapat dilihat oleh ahli kerana dilakukan secara tertutup.
Pihak berkuasa mendedahkan, seekor anak beruang misalnya dijual pada harga RM3,500 seekor dan anak harimau akar pula mencecah RM25,000 seekor.
Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar Asia Tenggara juga mengesan sekurang-kurangnya 14 akaun laman sosial terutamanya Facebook mendalangi penjualan hidupan liar secara haram di negara ini.
Kegiatan itu dikesan melibatkan kira-kira 70,000 ahli yang menyokong aktiviti tersebut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, modus operandi sindiket terbabit licik apabila mereka menggunakan laman sosial terutama Facebook untuk mencari pembeli menerusi pengiklanan jualan binatang liar.
"Sindiket ini bijak, dia buat iklan di internet dan Facebook menggunakan nama samaran atau akaun palsu, tetapi kita ada pasukan khas yang sudah tahu selok-belok taktik mereka.
"Mereka ini kita panggil sebagai jenayah siber hidupan liar," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Kosmo berikut.
Sumber: Kosmo Online