
Article
Keratan Akhbar Pilihan 6 576 Penjenayah Dipakai Peranti Pemantau Kpn
Seramai 6,576 penjenayah dipakai peranti pemantauan elektronik (EMD) sejak November 2015 sehingga 15 November lalu bagi membolehkan pergerakan mereka dipantau...
Petaling Jaya, 20 Disember 2023 - Seramai 6,576 penjenayah dipakai peranti pemantauan elektronik (EMD) sejak November 2015 sehingga 15 November lalu bagi membolehkan pergerakan mereka dipantau polis.
Pesalah yang dipakaikan peranti itu adalah mereka yang terlibat dengan kegiatan kongsi gelap selain jenayah kekerasan, harta benda, perjudian, dadah, pelacuran, penyeludupan migran dan jenayah komersil.
Turut dipakaikan pesalah-pesalah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 selain Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan orang kena tahan yang diberi jamin mahkamah di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemakaian peranti EMD ini sekali gus mengurangkan jenayah berulang selain boleh mengurangkan kesesakan di penjara.
Menurut beliau, bagi mengatasi masalah kesesakan ini, banduan boleh diberikan perintah parol serta dipakaikan EMD bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Daripada 6,576 pesalah yang dipakaikan EMD, kita dapati hanya 167 orang pengawasan polis dilaporkan melakukan kesalahan semula dan dituduh di mahkamah.
“Peratusan kejadian jenayah berulang lebih kurang tiga peratus daripada jumlah orang yang diawasi polis,” katanya di sini.