
Artikel
Kerajaan Luluskan Perjawatan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Wcb
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini, menzahirkan setinggi-tinggi perhargaan atas kepercayaan yang telah...
Kuala Lumpur, 26 September 2022 – Kerajaan telah meluluskan perjawatan unit baharu iaitu Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar atau “Wildlife Crime Bureau” (WCB) yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini, menzahirkan setinggi-tinggi perhargaan atas kepercayaan yang telah diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), kerana meluluskan perjawatan WCB tersebut, demi memastikan khazanah negara kekal terpelihara.
Dalam ucapannya, beliau turut berbangga atas kejayaan berterusan yang dilakar oleh Jabatan KDNKA menerusi Op Kontraban bagi membanteras ketirisan hasil cukai negara.
“Saya berharap agar kolaborasi bersama lain-lain kementerian dan agensi dalam usaha memerangi aktiviti kontraban dan penyeludupan diteruskan,” kata beliau semasa menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan KPN di Dataran Kompleks 3 Bukit Aman, di sini.
Tan Sri Acryl Sani juga mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota PDRM agar sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang.
Perhimpunan tadi turut dihadiri Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain, Pengarah Jabatan KDNKA selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali dan barisan Pengarah PDRM.
Dalam majlis tersebut juga, Tan Sri Acryl Sani berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan KPN kepada 67 warga Bukit Aman yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang melaksanakan tugas.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Aizat Afiq Kamarudin.














































