Kenderaan Dirompak Ditemui Semula Dua Suspek Diberkas 20140619
Kuala
Lumpur, 26 Jan - Polis menemui semula tiga buah kenderaan yang dicuri
antara Oktober tahun lalu dan Januari tahun ini selain menahan dua
suspek di Taman Kinrara, Puchong semalam.
Ketua
Polis Daerah Serdang ACP Abdul Razak Elias berkata dua suspek berusia
20-an itu ditahan di kawasan tempat letak kereta kira-kira pukul 7.15
malam.
"Sebelum
tangkapan dibuat, seorang penduduk di situ menyedari kelakuan seorang
lelaki dan rakannya yang sedang memecahkan dua buah kereta. Jadi, dia
menghubungi MERS999 dan pihak kita telah bertindak pantas dengan menahan
kedua-duanya di situ.
"Setelah
disiasat, kita dapati tujuan mereka memecahkan kereta adalah untuk
mengambil kereta yang dicuri dan mereka bekerja sebagai 'collector'.
"Maknanya
sindiket lain mencuri di tempat lain dan parking di tempat tersebut
untuk diambil dan dijual kepada sesiapa sahaja," katanya kepada
pemberita selepas pelancaran Ops Selamat Peringkat Ibu Pejabat Polis
Serdang di sini hari ini.
Abdul
Razak berkata siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek membawa kepada
penemuan sebuah lagi kenderaan curi jenis Perodua Kancil di Klang pada
hari yang sama.
"Apabila
diperiksa kereta ini, rupanya telah dilaporkan hilang pada awal bulan
ini di Shah Alam, manakala dua buah kereta yang ditemui sebelum ini
iaitu masing-masing Volkswagen dan Myvi pula hilang pada bulan Oktober
tahun lalu di Pulau Pinang dan Seremban," katanya.
Abdul
Razak memberitahu kesemua kenderaan dan suspek telah dibawa dan dirujuk
ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang untuk siasatan.
Sumber : BERNAMA