Keluarga Pelarian Ditahan Edar Dadah
AMPANG JAYA 26 Mei 2010 - Kemewahan hidup lima sekeluarga dari etnik Rohingya yang mendiami sebuah rumah teres di Pandan Mewah di sini, menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.
Namun, rahsia keluarga itu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin di sekitar kawasan itu.
Kejayaan diperoleh hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya di rumah mereka pada pukul 8.30 pagi, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lima beranak berusia 15 hingga 54 tahun tersebut dikesan bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.
Katanya, turut ditemui sejumlah dadah jenis heroin yang dibungkus di dalam peket-peket kecil dan straw bernilai RM4,000.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak perempuan, memegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR).
"Ketika ditahan, mereka sedangmembungkus dadah di rumah sewa itu untuk diedarkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pelanggan mereka terdiri daripada rakan-rakan senegara dan orang tempatan.
Katanya, sumber bekalan dadah yang diperoleh mereka pula dipercayai dari Flat San Peng di sini.
Tambah Abdul Jalil, ujian saringan air kencing mengesahkan kesemua suspek negatif dadah.
"Suspek-suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.