Kekalkan Prestasi Pasukan Trafik
Johor Bahru, 15 Januari 2017 - Mengekalkan prestasi cemerlang polis trafik Johor antara matlamat utama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor yang baru, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar yang menggantikan Superintendan Baharuddin Mat Taib.
Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan Pegawai Turus Pelesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur akan menggunakan segala pengalaman untuk berkhidmat sebaik mungkin terutama mengekalkan prestasi baik polis trafik Johor.
Dzulkhairi, 42, berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2000 termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 2001 hingga 2003 menggantikan Baharuddin yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis daerah Sepang berkuat kuasa serta merta.
Majlis terima tugas diadakan di IPK Johor sebentar tadi disaksikan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Sementara itu, dalam ucapannya Wan Ahmad Najmuddin berkata, tugas berat menanti Dzulkhairi kerana perlu mengekalkan pelbagai prestasi cemerlang termasuk pencapaian trafik negeri terbaik dalam Ops Selamat Tahun Baru Cina yang dimenangi tahun lalu.
Sumber: Harian Metro Online