Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2010
Melaka - 30 September 2010. Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2010 telah berlangsung selama 3 hari, bermula pada 28 September 2010 dan tamat pada hari ini, 30 September 2010 di Dewan Pusat Sukan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah/Majlis Sukan Negara, Melaka.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YDH SAC Dato' Jamshah bin Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan), mewakili YDH Ketua Polis Negara yang tidak dapat hadir kerana menjalankan tugas lain.
Hadir sama di majlis tersebut ialah YDH SAC Dato' Mohd Rodwan bin Mohd Yusof, Ketua Polis Melaka, YDH SAC Datuk Kamal Pasha bin Jamal, Timbalan Ketua Polis Melaka, YDH SAC Dato' Zainal Abidin bin Kassim, Presiden Sepaktakraw PDRM, YDH Ketua-ketua Jabatan Kontinjen Melaka, Ketua-ketua Polis Daerah, Dif-dif jemputan, pegawai-pegawai kanan, pengurus-pengurus pasukan serta para pemain.
Kontinjen Melaka telah diberikan kepercayaan dan tanggungjawab sebagai tuan rumah dalam menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara pada tahun ini. Sebanyak 18 pasukan daripada Kontinjen, Briged dan Pusat Latihan Polis telah mengambil bahagian didalam 3 acara iaitu Berpasukan, Veteran dan Terbuka.
Kejohanan sukan bukan sahaja menjadi medan untuk melahirkan ahli sukan yang cemerlang semata-mata, tetapi sukan juga sebenarnya berperanan menjadi landasan memupuk perpaduan dan menyemarakkan semangat setiakawan berpasukan dan nilai kesukanan yang tinggi di kalangan para peserta.
"Aktiviti sukan ini bukan sahaja sebagai pemangkin ke arah melahirkan atlet sukan PDRM yang berbakat, malah dapat membentuk warga PDRM supaya menjalani gaya hidup yang sihat dan berdisiplin tinggi", antara teks ucapan YDH Ketua Polis Negara yang disampaikan oleh YDH SAC Dato' Jamshah bin Mustapa.
"Bidang sukan adalah pentas dan wadah terbaik bagi memperkukuhkan perpaduan, membentuk semangat cintakan negara, keluarga dan pasukan melalui integrasi yang disemai tanpa mengira agama dan kaum".
Keputusan Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2010
Acara Berpasukan:-
Juara : Terengganu
Naib Juara : Kedah
Ketiga Bersama : Johor dan Negeri Sembilan
Acara Veteran :-
Juara : Perak
Naib Juara : Kedah
Ketiga : Johor
Keempat : PULAPOL Kuala Lumpur
Acara Terbuka :-
Juara : Selangor
Naib Juara : Terengganu
Ketiga : Bukit Aman
Keempat : Briged Utara

tiga dari kanan...YDH SAC Dato' Jamshah bin Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan)mewakili YDH Ketua Polis Negara di Majlis Penutupan Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2010

Sepaktakraw bulatan dipertontonkan kepada hadirin yang hadir sebelum bermulanya acara akhir Bergu Terbuka.

YDH SAC Dato' Jamshah bin Mustapa diperkenalkan kepada pemain dari Kontinjen Selangor sejurus perlawanan akhir bermula antara Selangor bertemu Terengganu

Apit kanan terbaik serta tekong terbaik bagi kategori Acara Terbuka dari Kontinjen Selangor (baju kuning)

Antara Kontinjen yang mengambil bahagian di Kejohanan Sepaktakraw Piala KPN 2010

Penyampaian sijil dan diperkenalkan kepada Pengurus Pasukan

Kontinjen Terengganu...Juara Berpasukan dan Naib Juara Terbuka serta apit kiri terbaik Acara Terbuka

Kontinjen Selangor, Juara Terbuka serta mengondol hadiah pemain tekong dan apit kanan terbaik Acara Terbuka.

Perak...Juara Veteran dan pemain apit kiri dan tekong terbaik bagi Acara Veteran.

Kontinjen Kedah..Naib Juara acara Berpasukan dan Veteran serta pemain apit kanan terbaik Acara Veteran.

dua dari kiri...YDH SAC Dato' Mohd Rodwan bin Mohd Yusof, Ketua Polis Melaka menyampaikan cenderahati kepada YDH SAC Dato' Jamshah bin Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan).