
Artikel
Kejohanan Menembak Ipsc Rmp Open Championship 2023 Catat Sejarah Paling Berjaya Untuk Pdrm
Putrajaya, 8 Mei 2023 - Kejohanan Menembak IPSC RMP Open Championship 2023 anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat sejarah tersendiri apabila acara sukan...
Putrajaya, 8 Mei 2023 - Kejohanan Menembak IPSC RMP Open Championship 2023 anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat sejarah tersendiri apabila acara sukan tersebut berjaya menarik penyertaan 787 peserta dari dalam dan luar negara.
Acara peringkat ketiga yang bermula pada 1 Mei lalu itu juga telah mengumpul penembak handalan dari kelab-kelab menembak seluruh Malaysia, jabatan-jabatan kerajaan malah pasukan keselamatan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Lebih membanggakan lagi apabila enam negara iaitu Indonesia, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Singapura dan Hong Kong turut menghantar penyertaan, sekaligus mencatatkan acara PDRM berkenaan sebagai "Most Participants In Shooting Tournament" di dalam The Malaysia Book of Records.
Acara yang melabuhkan tirainya petang semalam itu menyaksikan Sarjan Mejar Harry @ Henry Anang dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menggondol juara untuk acara 'Shoot Off Individual' Piala Ketua Polis Negara (KPN), manakala Sarjan Azmer Muhamad dari IPK Selangor dan penembak dari IPK Perak, Koperal Hasnizam Harun di tempat kedua dan ketiga.
Manakala untuk acara 'Shoot Off Team' pula, pasukan dari IPK Sarawak berjaya menamatkan cabaran peserta dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan IPK Selangor untuk menjadi juara sekaligus mencatatkan pasukan lain di tempat kedua serta ketiga.
Bagi acara individu pula, Superintendan Victor Cardona dari Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) muncul juara dengan mengalahkan Sarjan Azmer Muhamad dari IPK Selangor di tempat kedua serta Sarjan Mejar Harry @ Henry Anang dari IPK Sarawak (ketiga).
Lebih bermakna buat pasukan menembak dari Briged Sabah PGA apabila berjaya membawa pulang Piala Pusingan KPN setelah menjadi juara kategori berkumpulan setelah menewaskan pasukan menembak dari IPK Sarawak yang mencatatkan jumlah markah di tempat kedua dan JSJ Bukit Aman (ketiga).
Turut diumumkan tadi ialah para pemenang bagi kategori 'Open Individual' RMP Open Championship dengan menyaksikan penembak dari negara Thailand, Arif E-La menundukkan penembak dari PDRM, Sarjan Fitri Raman Sumpa Mas dan Mohd Rosmizi Abdul Khalid dari Tentera Laut Diraja Malaysia (Navy).
Bagai sudah dijangkakan, pasukan menembak PDRM tidak mudah diperlekehkan untuk kategori 'Open Team' apabila dengan mudah menewaskan pasukan menembak dari Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS) dan Navy Open yang berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.
Kategori 'Open Shoot Off' pula mencatatkan sejarahnya apabila penembak Navy, Mohd Rosmizi Abdul Khalid berjaya menewaskan penembak dari KMSS, Mohamad Hamdan Abu Bakar (tempat kedua) dan penembak PDRM, Inspektor Mohd Rokimi Basri Md Yusoff yang berpuas hati di tempat ketiga.
Manakala katgori 'Open Senior' menobatkan penembak dari Macau, Brian Cheung menjadi juara dan Tse Lai Man serta Tsang Man yang masing-masing dari Hong Kong di tempat kedua dan ketiga.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh KPN, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama timbalannya, DIG Tan Sri Razarudin Husain dalam Malam Apresiasi RMP Open Championship 2023 - Level III yang diadakan di Hotel The Everly, di sini, malam tadi.
Turut berlangsung ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang RMP Open Championship (Standard), Production Optic dan Production, Piala Pusingan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) kepada pasukan menembak Batalion 11 PGA serta 'VIP Shoot Off' kepada Kumpulan 1 yang diketuai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Acryl Sani menyatakan harapannya agar Malaysia suatu hari kelak dapat diberi peluang menganjurkan pula pertandingan Level V bertaraf dunia, selain menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan dalam setiap penganjuran sukan berprestij di negara ini.
"Saya turut mengambil ruang dan peluang yang ada ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBSMalaysia), atas keprihatinan yang diberikan dalam pembangunan sukan menembak di negara ini.
"Besarlah harapan saya, agar Malaysia diberi peluang untuk menganjurkan pertandingan Level V iaitu World Shoot yang merupakan tahap tertinggi dalam kejohanan IPSC ini, yang sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan negara", ujar beliau.
Yang turut hadir di lapang sasar, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Deputy Regional Director IPSC Malaysia merangkap Presiden Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Dato' Seri Hj. Shafiz Dato’ Hj. Shahrani dan Presiden National Range Officers Institute, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.
Tidak ketinggalan, Ketua-ketua Agensi KDN, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam selaku Pengerusi Jawatankuasa Utama RMP IPSC Championship 2023, CP Dato' Sri Hazani Ghazali, barisan Pengarah PDRM, Ketua-ketua Polis Negeri dan Komander Unit Tindakhas selaku Pengarah Kejohanan Tembak IPSC PDRM 2023, SAC Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.








