
Article
Kejayaan Jsjn Tumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah Di Lembah Klang Johor Dan Kelantan Kpn
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain memuji usaha yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)...
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain memuji usaha yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kerana berjaya menumpaskan lima sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang, Johor dan Kelantan serta merampas 1,418 kilogram dadah bernilai RM75 juta baru-baru ini.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam amanatnya sempena Perhimpunan Bulanan KPN anjuran JSJN yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
“PDRM menerusi JSJN perlu sentiasa cakna dan proaktif selaras dengan perubahan globalisasi yang menjadikan sindiket dadah semakin licik dan kompleks.
"Perubahan corak peralihan dadah jenis tradisional kepada sentetik ketika ini semakin berbahaya mengalami evolusi ekoran perkembangan teknologi seantero dunia, ujar beliau.
Beliau turut menyentuh penglibatan pegawai polis dalam salah laku jenayah, dadah dan disiplin yang dilihat semakin meruncing. Perkara ini bukan sahaja kegagalan dalam penyeliaan, malah ada yang turut terlibat dalam kes jenayah.
“Semua warga PDRM harus mengambil iktibar dan peringatan atas apa yang berlaku. Kepimpinan di semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan melibatkan semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau. Saya tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua yang terlibat dalam isu salah laku yang memberi imej buruk kepada Pasukan” tegasnya lagi.
Dalam perhimpunan yang diadakan, Tan Sri Razarudin berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan Khas kepada Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Dato' Sasikala Devi Subramaniam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Siti Kamsiah Hassan dan Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, ACP Lai Lee Ching yang telah mengharumkan nama negara amnya dan Pasukan khususnya ketika menyertai Top Women in Security ASEAN Region Awards 2024 pada September lalu. Dalam program tersebut, ACP Lai Lee Ching telah dianugerahkan 'Country Award-Malaysia' mengatasi 30 calon yang bertanding.
Beliau yang diiringi Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah JSJN selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Seri Khaw Kok Chin turut tidak ketinggalan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 35 orang pegawai polis dan pegawai awam dari pelbagai jabatan dalam PDRM yang telah mempamerkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang.
Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah barisan Pengarah serta Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery




