Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Kanak Kanak Terjatuh Bukan Dicampak

Published: 14 Nov 2014 1.54 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Seremban, 13 Nov - Adam Zikri Faizul Khairy, 6, kanak-kanak yang dijumpai terdampar di kaki lima Sekolah Kebangsaan Tasik Jaya di sini semalam, dipercayai terjatuh dan bukan dicampak dari tingkat dua sekolah berkenaan.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/kanak-kanak-terjatuh-bukan-dicampak
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 21:09 MYT
Seremban, 13 Nov - Adam Zikri Faizul Khairy, 6, kanak-kanak yang dijumpai terdampar di kaki lima Sekolah Kebangsaan Tasik Jaya di sini semalam, dipercayai terjatuh dan bukan dicampak dari tingkat dua sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban Supt Muhamad Zaki Harun berkata pihak polis menerima panggilan pada kira-kira 2.55 petang semalam dan ketika kejadian berlaku, sesi persekolahan telah tamat.

"Kita sudah dapatkan keterangan dari tiga orang murid berusia 11 tahun pagi ini, dan mereka memberitahu ketika kejadian berlaku, ada seorang kanak-kanak autisme berumur 12 tahun yang bersekolah di sekolah pendidikan khas telah berjumpa dengan mangsa di tingkat dua dan mengangkat mangsa lalu diletakkan di atas tembok koridor.

"Kemudian mungkin kerana mangsa dalam keadaan tidak stabil kerana tembok koridor tersebut yang permukaannya kecil, menyebabkan mangsa tidak seimbang lalu terjatuh dari ketinggian lebuh kurang 20-30 kaki," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak autisme yang berbadan agak besar ini cuba  menyelamatkan mangsa tetapi tidak sempat berbuat demikian.

"Dari keterangan yang diberi, kita lihat ia konsisten dengan apa yang berlaku," katanya.
Muhamad Zaki berkata pihak polis telah menemu bual kanak-kanak autisme yang juga merupakan murid Program Pendudukan Khas Integrasi, dan mendapati kanak-kanak ini seorang yang hiperaktif dan dia tidak tahu akan akibat perbuatannya.

"Kita sudah buka kertas siasatan awal dan akan kemukakan kes ini ke pihak pendakwa raya. Di dalam undang-undang juga menyebutkan kanak-kanak berumur 12 tahun sekiranya dia tidak mengetahui apa perbuatannya, tidak menjadi satu kesalahan," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Adam Zikri, Faizul Khairy Zulkifli, 38, ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar di sini berkata anaknya dalam keadaan stabil dan hanya mengalami patah kaki kanan dan tangan kiri selain cedera pada kepala.- BERNAMA
ArticlePublished 14 Nov 2014 1.54 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM