Kanak Kanak Lelaki Empat Tahun Dilapor Hilang Di Pulau Pinang
Nibong Tebal, 20 Ogos - Polis meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan seorang kanak-kanak lelaki Sakil Bul Bul Mia berusia empat tahun yang dilapor hilang di George Town, Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata kanak-kanak lelaki itu dilapor hilang selepas ditinggalkan bapanya, rakyat Bangladesh, di rumah mereka di 56 Jalan 3, Lebuh Pregrasive, George Town, pukul 5 petang.
"Menurut laporan bapa mangsa, dia meninggalkan anaknya di rumah untuk membeli makanan di kedai tidak jauh dari rumah mereka.
"Sebaik pulang ke rumah, anak tunggalnya bersama bekas isteri, seorang rakyat Indonesia, sudah tiada di rumah. Bapa kanak-kanak itu cuba mencari di kawasan perumahannya tetapi tidak menemui Sakil," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Thaiveegan ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang baharu iaitu Supt Wan Hassan Wan Ahmad yang menggantikan ACP Shafien Mamat.
Thaiveegan berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu membuat laporan polis berhubung kehilangan Sakil di Balai Polis Jalan Patani, di sini pada hari yang sama anaknya itu hilang.
Beliau berkata polis telah mengambil keterangan bapa kanak-kanak itu yang bekerja di negeri ini sejak lima tahun lepas.
"Menurut bapanya, Sakil yang dilahirkan di negara ini, selalunya dijaga oleh isteri rakannya setiap kali dia keluar bekerja. Bapa kanak-kanak itu turut mendakwa setiap petang selepas pulang dari kerja, dia akan tinggalkan anaknya di rumah dan keluar membeli makanan. Ini pertama kali anaknya hilang," kata Thaiveegan.
Beliau berkata polis telah mengedarkan gambar kanak-kanak itu dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sakil supaya menghubungi pegawai penyiasat Insp Khor Kang Learn di talian 017-3558477 atau 04-2181822 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA