Kami Komited Kekalkan Keamanan Dan Kesejahteraan Negara
..Kami
yang sedang berkhidmat dalam pasukan pada hari ini, akan meneruskan
usaha-usaha murni yang telah dimulakan oleh pucuk pimpinan terdahulu
untuk menentukan negara kita terus aman dan sejahtera sepanjang masa.. - YDH Ketua Polis Negara
Kuala Lumpur , 23 Okt -
"Walaupun cabaran semasa dan akan datang agak berbeza dari era
terdahulu di mana jenayah kini lebih berbentuk transnasional dan dunia
kini diselubungi kepesatan 'cyber-space',
dunia dengan modus operandi jenayah yang telah berubah, dunia dengan
corak pemikiran manusia yang telah berubah malah dunia dengan cuaca yang
berubah, namun satu jaminan kami yang jitu adalah kami tetap akan
meneruskan usaha menentukan PDRM mampu menangani perubahan-perubahan ini
sejajar dengan kehendak semasa, agar PDRM terus relevan dalam dunia
yang berubah," tegas YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis
Negara, hari ini.
Berucap
sempena Perhimpunan Perdana YAB Perdana Menteri Malaysia Bersama Pesara
Dan Bekas Polis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), beliau turut
menyatakan penghargaan kepada bekas-bekas dan pesara-polis yang telah
berjuang selama perkhidmatan mereka di mana apa yang dikecapai sekarang
ini adalah hasil daripada usaha-usaha dan keringat mereka.
Menurutnya lagi, perhimpunan ini juga merupakan manifestasi gandingan 'accumulated experience' yang sentiasa ditambah baik melalui 'continuous improvement' dan PDRM juga mendukung falsafah 'learning institution' yang sentiasa dinamik dalam memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat dan negara.
Dalam
ucapannya juga, beliau mengambil kesempatan bagi mewakili bekas dan
pesara polis yang telah berkhidmat pada zaman darurat untuk menyampaikan
ucapan terima kasih di atas keprihatinan YAB Perdana Menteri atas
sumbangan tiga ribu ringgit kepada mereka (bekas-bekas Polis) seperti
yang telah diumumkan dalam Bajet 2012 yang lalu.
Beliau
turut mewakili PDRM bagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
YAB Perdana Menteri atas perhatian khusus yang telah diberikan yakni
peruntukan sebanyak RM 442 juta bagi projek-projek pembangunan PDRM dan
peruntukan khas RM 200 juta untuk menaik taraf kelengkapan penugasan
pegawai dan anggota PDRM.
Dalam
pada itu, perhimpunan yang dihadiri sekitar 6000 orang ini turut
diserikan dengan kehadiran YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Razak,
Perdana Menteri Malaysia, YB Tan Sri Abu Zahar bin Dato' Nika Ujang,
Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein,
Menteri Dalam Negeri, Y.A.Bhg Tun Mohammed Hanif bin Omar, Mantan Ketua
Polis Negara, YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Timbalan
Speaker Dewan Rakyat, YB Datuk Wira Seman bin Yusop, Timbalan Menteri
Dalam Negeri, Y.Bhg Tan Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri, YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah
JSJN merangkap Pengerusi jawatankuasa pengelola perhimpunan tersebut,
Pengarah-pengarah PDRM, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan wakil-wakil
media.

Bersama menyanyikan lagu Negaraku.
Ucapan aluan daripada YDH Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar, Ketua Polis Negara.
Ucapan aluan daripada YAB Dato' Sri Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Perasmian
Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Malaysia Dengan
Pesara/Bekas Polis oleh YAB Dato' Sri Najib bin Tun Hj Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia.
Penyampaian Cenderahati Kepada Pesara/Bekas Polis oleh YAB Dato' Sri Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Upacara Melafaz Ikrar oleh Pesara/Bekas Polis.

YAB
Dato' Sri Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia sempat
bersalaman bersama pesara/bekas polis setelah selesai majlis.

Dari
kiri.. YDH Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar, Ketua Polis Negara, YAB Dato'
Sri Najib bin Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan YB Dato'
Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri semasa sesi
sidang media di akhir majlis.
Jurufoto : Konst Raymond, Konst Santher
Wartawan : L/Kpl Irfan
Penyunting : C/Insp Norsuzila Bt Kamaruldin