
Jsjn Melangkah Ke Hadapan Dalam Arus Teknologi Moden Negara
Kuala Lumpur, 21 Februari 2023 - Polis Diraja Malaysia menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini melangkah maju ke hadapan dalam arus teknologi moden negara, apabila Unit Kawalan Sistem Narkotik (UKSN) mempunyai pangkalannya sendiri di ibu negara.
Bangunan UKSN yang terletak di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) itu menempatkan kesemua sistem digital, peralatan moden dan canggih yang dimiliki JSJN bagi memudahkan urusan kawal selia serta penjagaan aset bernilai tinggi.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia tidak terkecuali mengaplikasikan teknologi dalam setiap aspek pengoperasiannya ke arah memperkasakan lagi Pasukan sebagai agensi penguat kuasa utama negara yang memberi perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam menjamin masyarakat selamat, aman serta sejahtera.
Beliau yang hadir merasmikan bangunan UKSN itu petang tadi turut mengucapkan tahniah kepada JSJN kerana telah bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dalam bidang risikan, siasatan dan pengoperasiannya.
"Semoga dengan penghasilan maklumat risikan secara pendigitalan ini, dapat memantapkan lagi operasi pembanterasan dadah serta meningkatkan pembongkaran makmal dadah secara mapping dan profiling.
"Secara tidak langsung, persepsi rasa selamat masyarakat terhadap PDRM dalam pencegahan jenayah dadah dan penguatkuasaan undang-undang di negara ini akan meningkat, Insya-Allah", ujar beliau.
Yang turut hadir dalam majlis tadi ialah Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan / Operasi) Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad, Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan / Pencegahan / Kepolisan Am) Bukit Aman, SAC Adnan Azizon, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Hj. Kamal Faizul Mohd Zain, wakil Pengarah Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Munira Akhmal Hashim dan warga JSJN.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.