Jenayah Johor Turun
JOHOR BAHRU 15 Mei 2010 – Polis Johor berjaya mengurangkan kadar indeks jenayah sebanyak 20.43 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, sehingga 30 April lalu, pihaknya berjaya mengurangkan kadar jenayah kepada 6,349 kes berbanding 7,979 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, kontinjen Johor berjaya mencatatkan penurunan kadar indeks jenayah bagi empat tahun berturut-turut sejak 2006.
“Hingga tempoh yang sama juga, polis Johor berjaya menyelesaikan 3,070 atau 48.35 peratus daripada 6,349 kes. Kejayaan ini adalah sejajar dengan polisi kami yang akan terus berusaha meningkatkan perkhidmatan.
“Kontinjen Johor sangat optimis bahawa sasaran menurunkan keseluruhan kadar jenayah indeks sebanyak lima peratus dan jenayah jalanan 20 peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya pada majlis Malam Penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor, di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin serta Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Kontinjen Johor mempunyai kekuatan 7,744 orang terdiri daripada 738 pegawai kanan dan 7,006 anggota pangkat rendah yang bertugas di 13 ibu pejabat polis daerah, 94 balai polis, 78 pondok polis dan lapan pondok polis komuniti.
Pada majlis itu, Perkep Johor turut menerima 20 buah komputer bernilai RM79,000 termasuk mesin pencetak, meja dan kerusi.
Sumbangan itu disampaikan Abdul Ghani kepada Pengerusi Perkep Johor, Datin Bibi Zakiah Meraslam.
Mohd. Mokhtar berkata, maklumat orang ramai dan penyertaan mereka dalam aktiviti kepolisan komuniti amat dialu-alukan kerana kerjasama itu boleh membantu kejayaan polis.
“Kewujudan kepolisan komuniti juga memberi impak positif kepada penurunan kadar jenayah selain maklumat daripada orang ramai yang selama ini menjadi kunci kepada kejayaan polis,” katanya.