Isa Samad Dijangka Dipanggil Polis Minggu Depan
Kuala Lumpur, 27 Disember 2017 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad minggu depan bagi membantu siasatan berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sr Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini, pihaknya sudah merakam percakapan kira-kira lima individu berhubung isu tersebut.
“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini, kita sudah menemubual pegawai Felda, Pejabat Tanah dan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sebentar tadi.
Noor Rashid berkata, kenyataan Mohd. Isa penting bagi membantu siasatan kerana beliau merupakan pengurusan tertinggi Felda ketika itu. - KOSMO ONLINE