Ipk Terengganu Muncul Juara Piala Ketua Polis T Ganu 2015
Kuala Terengganu, 16 Mei- Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Terengganu edisi 2015 setelah menewaskan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman 2-0 pada final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.
Dalam pertembungan peringkat akhir itu, Ahmad Farid Abdul Ghaffar menjadi wira pasukan IPK Terengganu setelah menjaringkan kedua-dua gol tersebut.
Ahmad Farid, yang merupakan penjaring terbanyak iaitu lapan gol sejak aksi bermula 9 Mei lepas, turut menerima Anugerah Kasut Emas.
Pengurus pasukan IPK Terengganu, ASP Mohamad Zaki Ramat berkata pasukan bimbingan Inspektor Mohd Nazri Mohd Yusof itu berjaya meraih gelaran sulung selepas kalah kepada IPD Kuala Terengganu pada final tahun lepas.
Sebanyak sembilan pasukan yang terdiri daripada IPK Terengganu, IPD Kuala Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu serta Pengkalan Unit 6 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah berentap dalam merebut piala tersebut.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Ketua Polis Terengganu, Dato' Jamshah Mustapa.- BERNAMA