Inter Force Games 2018 Pdrm Kekal Juara Bertahan Berturut Turut
Butterworth, 16 Julai 2018 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan kejuaraan Inter-Force Games (IFG) selepas menundukkan pasukan lawan agensi penguatkuasa utama negara jiran Singapore Police Force (SPF) dalam beberapa acara sukan yang dipertandingkan bermula awal pagi semalam.
IFG edisi 2018 pada kali ini dihoskan bersama oleh Majlis Sukan PDRM dengan Kontinjen Pulau Pinang yang bermula dari 13 sehingga 15 Julai 2018 di beberapa lokasi pertandingan di sekitar Pulau Mutiara.
Pasukan PDRM telah berjaya membawa pulang empat pingat emas daripada tujuh acara yang dipertandingkan pada temasya kali ini. Kesemua pingat yang disapu bersih adalah menerusi sukan golf, badminton, bowling dan bola jaring. Manakala SPF selaku naib johan pula berjaya membawa pingat emas menerusi baki permainan bola sepak, bola tampar dan perahu naga.
Pengumuman johan dan penyampaian piala pusingan telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara merangkap Penaung Majlis Sukan PDRM, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dengan diiringi rakan sejawatannya dari Singapura, CP Hoong Wee Teck selaku tetamu kehormat di Grand Ballroom, Hotel Equatorial, Pulau Pinang.
Berucap dalam majlis makan malam meraikan para atlet, Tan Sri Mohamad Fuzi berharap agar semangat setiakawan yang dipamerkan dalam semua acara kejohanan yang telah berlangsung dapat diterjemahkan dalam tugasan seharian seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Sukan boleh menjadi sebuah permainan yang mudah atau sebaliknya. Tetapi hakikatnya, ianya penuh dengan pengajaran dalam kehidupan. Selain itu, sukan juga boleh mengajar kita erti kegagalan, kegembiraan, kekecewaan atau keseronokan. Malah yang lebih penting, sukan dapat mengajar kita erti kematangan dan sentiasa merendah hati,” ujar beliau.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Sri Mohmad Salleh, Pengarah Jabatan Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Dato’ Sri Abdul Ghafar Rajab, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato’ Asri Yusoff, Ketua Polis Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IFG 2018, Datuk Seri A. Thaiveegan, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Dato’ Zaini Jass dan Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Superintendan Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun turut menyertai kejohanan IFG 2018.
Antara aksi Pengarah Pengurusan, Dato’ Sri Abdul Ghafar Rajab di kejohanan IFG 2018.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menjulang trofi Piala Pusingan IFG 2018.
Sekitar acara berlangsung.
Sekitar acara berlangsung.
Penyampaian cenderahati.
Sekitar acara berlangsung.
Penyampaian cenderahati.
Penyampaian hadiah.
Bergambar kenangan.