
Artikel
Integriti Kekal Sebagai Keutamaan Jadi Budaya Seluruh Warga Pasukan Kpn
Kuala Lumpur, 9 Februari 2024 - Integriti yang utuh dan tata kelola yang baik akan menjadi keutamaan dan benteng kepada warga Pasukan daripada terjebak melakuk...
Kuala Lumpur, 9 Februari 2024 - Integriti yang utuh dan tata kelola yang baik akan menjadi keutamaan dan benteng kepada warga Pasukan daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus dapat mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku.
"Sebagai warga PDRM yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden-insiden sedemikian daripada berulang.
"Para penyelia di semua peringkat perlu bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut. PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan sepertimana yang termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993", ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bagi bulan Februari 2024 anjuran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Menurut Tan Sri Razarudin juga, Jabatan Pengurusan merupakan ‘nadi pasukan’ atas peranannya sebagai tunjang kepada tadbir urus PDRM. Sesungguhnya, pengurusan dan tata kelola yang baik akan memacu kecemerlangan sesebuah organisasi. Bagi melahirkan warga kerja yang berkemahiran digital, tangkas, kreatif dan berupaya berfikir di luar kotak, Dasar Pembangunan Sumber Manusia (DPSM) PDRM telah dibangunkan. Ia juga bagi membudayakan nilai-nilai murni dan melahirkan pekerja yang profesional.
"Justeru, para pegawai perlulah melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik, agar kompeten serta mampu melaksanakan peranan sepertimana yang digariskan di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967. Pucuk pimpinan PDRM sentiasa mengambil cakna dan memastikan tahap pengetahuan serta kemahiran warga Pasukan dipertingkatkan dari semasa ke semasa", ujar beliau lagi.
Sebagai menghargai warga Pasukan yang telah menjunjung tinggi nilai integriti dan berkhidmat dengan penuh ikhlas serta jujur, seramai 26 warga Sang Saka Biru terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah polis serta pegawai awam diumumkan sebagai penerima Sijil Penghargaan KPN pada perhimpunan kali ini.
Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan barisan Pengarah serta Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.




