Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Infokpn Jom Kenali Kpn Ketujuh

Diterbitkan: 09 Feb 2020 7.00 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.32 AM
Ketua Polis Negara Ketujuh: Allahyarham Tan Sri Mohd Bakri Haji Omar (6.11.2003 - 11.09.2006)
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/infokpn-jom-kenali-kpn-ketujuh
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 08:27 MYT

Ketua Polis Negara Ketujuh: Allahyarham Tan Sri Mohd Bakri Haji Omar (6.11.2003 - 11.09.2006)

Tan Sri Mohd Bakri Haji Omar telah dilahirkan pada 10 September 1948 di Beruas, Perak dan memulakan perkhidmatan dalam Pasukan Polis sebagai Kadet ASP pada 1 Januari 1971. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana (Sains Politik) dari Universiti East Tennesse, Amerika Syarikat.

Setelah selesai menjalani latihan asas kepolisan, Tan Sri Mohd Bakri telah dilantik sebagai Penolong Penguasa Polis Pentadbiran di Cawangan Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman sehingga 11 Ogos 1972.

Beliau juga berpengalaman luas dalam bidang pengurusan di peringkat tertinggi seperti Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Pesuruhjaya Polis Sabah, Ketua Polis Kedah dan Ketua Polis Kuala Lumpur. Di samping itu beliau juga pernah bertugas sebagai Pengurus Besar Keselamatan dan Pengurusan Sumber Manusia Malaysia Airport Bhd. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan jawatan terakhir sebelum menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara ialah Pengarah Pengurusan PDRM.

Beliau terkenal sebagai seorang pegawai yang tegas dan jujur dalam menjalankan tugas-tugasnya. Pada 10 Mac 2003 beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohd Jamil Johari.

Perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan oleh Tan Sri Mohd Bakri membantu Ketua Polis Negara dalam menangani pelbagai isu ancaman negara di samping meningkatkan taraf perkhidmatan Pasukan Polis telah menyebabkan beliau diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menerajui pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia apabila beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara ketujuh bagi menggantikan Tan Sri Norian Mai pada 6 November 2003.

Sumber: Muzium Polis Diraja Malaysia

Image may contain: one or more people

ArtikelDiterbitkan 09 Feb 2020 7.00 AMDikemas kini 17 Jul 2026 3.32 AM