
Ketua Polis Negara ke-10: IG Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar (17.05.2013 - 03.09.2017)
Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar dilahirkan pada 5 September 1957 di Seremban, Negeri Sembilan. Tanggal 17 Mei 2013, beliau secara rasminya telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) menggantikan Tan Sri Dato' Seri Haji Ismail Haji Omar sekali gus menjadi KPN yang ke-10 dalam lipatan sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Umum mengetahui beliau merupakan seorang Pegawai Kanan Polis sentiasa murah dengan senyuman dan juga disenangi oleh segenap lapisan masyarakat atas sikap mesranya.
Melihat daripada karakter beliau, Tan Sri Khalid sememangnya individu yang paling tepat dalam menggalas tanggungjawab sebagai KPN, ditambah lagi dengan senario semasa, PDRM dan negara ini memerlukan seorang yang mempunyai kredibiliti yang mapan dalam meneruskan perjuangan serta amanah KPN sebelumnya.
Perjalanan karier beliau juga menunjukkan reputasi dan amat cemerlang. Pengalaman kerjaya beliau dalam bidang siasatan jenayah dan menjawat beberapa jawatan penting dalam PDRM membuktikan beliau optimis dan komited dalam melampiaskan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Bahkan ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan KPN, beliau juga turut berkongsi duka dengan KPN melalui saat-saat getir keharmonian negara dicabuli oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ketua yang terbaik adalah ketua yang sering berhadapan dengan ujian, tidak berundur, mampu bertahan dan menghadapi serta mengendalikannya dengan bijak dan bertanggungjawab.
Perlantikan ini sudah tentu memberikan nafas baharu dan transformasi positif kepada PDRM dalam mengekalkan visi dan misi pasukan sebagai Pasukan Polis Bertaraf Dunia!
Sumber: Muzium Polis Diraja Malaysia