Ibu Tunggal Antara Empat Yang Ditahan Edar Dadah
Kuantan,
13 Mei - Seorang ibu tunggal adalah antara empat individu yang ditahan
dalam dua serbuan berasingan di sini kerana dipercayai mengedar dadah
dan keseluruhan sejumlah 199.4 gram heroin bernilai RM39,880 turut
dirampas daripada mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan berkata pada Sabtu lalu, seorang buruh berusia 22 tahun ditahan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di Bukit Setongkol kira-kira 12.30 tengah malam.
"Hasil
pemeriksaan ke atasnya, polis menemui 15.4 gram heroin bernilai RM3,080
di dalam plastic yang dimasukkan ke dalam mulut suspek selain
ganjaseberat 0.3 gram dan syabu seberat 0.5 gram di dalam poket
bajunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Suspek yang berasal dari Kajang, Selangor didapati positif ganja dan aktif mengedar di sekitar Kuantan.
Namun ganja dan syabu yang ditemui padanya hanya untuk kegunaannya sendiri.
Yap
berkata dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun turut ditahan di sebuah
rumah di Bukit Setongkol pada pukul 1.30 pagi pada hari yang sama.
Polis menemui heroin seberat 124 gram bernilai RM24,800 di dalam sebuah bilik tidur rumah berkenaan.
"Kedua-dua
suspek yang berkerja sebagai buruh dan berasal dari Perak itu juga
mengakui mendapat bekalan dadah terbabit dari Kuala Lumpur," katanya.
Dalam
serbuan kira-kira 3 petang semalam pula, seorang ibu tunggal berumur 41
tahun diberkas di tepi jalan dekat kawasan perindustrian Semambu.
Yap berkata hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 60 gram bernilai RM12,000 di dalam sebuah beg di tangannya.
"Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut didapati positif dadah," katanya.
Beliau
berkata kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu
Pejabat Daerah Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai
mati.
BERNAMA