
Artikel
Hut 69 Komando Ke 52 Pengarah Kdnka Dianugerahkan Beret Kehormat
Ipoh, 24 Oktober 2021 - Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Hazani Ghazali hari ini dianugerahkan beret kehormat...
Ipoh, 24 Oktober 2021 - Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Hazani Ghazali hari ini dianugerahkan beret kehormat 69 Komando, Polis Diraja Malaysia sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando ke-52 yang diadakan di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, di sini, pagi tadi.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua Polis Perak, CP Dato' Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid bersama Komander Briged Utara PGA, SAC Tuan Abdul Ghani Hj. Mohamad Ji dan Komander Briged Sabah PGA, SAC Tuan Abdul Rani Alias.
Pemakaian beret kehormat 69 Komando kepada Dato' Hazani telah dilakukan sendiri oleh komandernya iaitu SAC Tuan Abdul Razak Mohd Yusoff.
Kemeriahan sambutan HUT diserikan dengan demonstrasi tembak taktikal yang melibatkan pelbagai aksi mencemaskan, berlatar belakangkan bunyi letupan peledak dan tembakan senjata api canggih yang sebenar daripada pegawai dan anggota 69 Komando.
Dalam majlis yang sama, Dato' Hazani berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada beberapa warga 69 Komando yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam penugasan mereka menumpaskan penjenayah antaranya menerusi Op Taring dan Op Benteng. Tidak ketinggalan, Cawangan Kewangan 69 Komando turut diberikan sijil penghargaan kerana berjaya mendapat penarafan cemerlang oleh Jabatan Akauntan Negara, Negeri Perak baru-baru ini.
Hadir sama, barisan Pegawai Kanan 69 Komando dan PGA Briged Utara, Ulu Kinta.
Seusai program di PGA Ulu Kinta, beliau bersama isterinya, Datin Fadziah Abdul Hamid merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan KDNKA ditemani oleh Pengerusi PERKEP 69 Komando, Puan Hajah Nazirah Bidin berkesempatan menyantuni anak-anak yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor, Perak dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Jurugambar: Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar, Lans Koperal Mohd Shazril Abd Rashid dan Konstabel Hilmi Zaini