Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Henti Sebar Berita Pesawat Terhempas Di Gua Musang Polis

Published: 04 Jun 2015 2.13 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kota Bharu, 4 Jun- Polis Kelantan meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita berhubung pesawat terhempas di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang kerana telah disahkan insiden itu tidak berlaku.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/henti-sebar-berita-pesawat-terhempas-di-gua-musang-polis
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 23:22 MYT

Kota Bharu, 4 Jun- Polis Kelantan meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita berhubung pesawat terhempas di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang kerana telah disahkan insiden itu tidak berlaku.

Ketua Polis Kelantan Dato' Mazlan Lazim berkata penyebaran berita itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan latihan penerbangan yang dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan terbabit.

"Kami telah semak dengan semua pihak termasuk pusat kawalan penerbangan, balai polis daerah dan TUDM, memang tiada sebarang kehilangan pesawat berlaku.

"Namun dalam masa yang sama TUDM memaklumkan bahawa mereka ada membuat latihan penerbangan di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Bersama Mencegah Jenayah di Pusat
Transformasi Luar Bandar (TRC) Tunjong di sini, hari ini.

Beliau berkata berkemungkinan pemberi maklumat membuat laporan berdasarkan bunyi pesawat yang terbang rendah itu yang disangkakan terhempas.

"Kita percaya pemberi maklumat itu ternampak pesawat tersebut yang terbang rendah. Mungkin dia dengar bunyi dan nampak jatuh sebab (pesawat) terbang rendah, tetapi memang tiada. Jadi kita minta hentikan penyebaran viral berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai karnival itu, beliau berkata ia berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu bertujuan mewujudkan kesedaran dan kerjasama erat pihak polis dengan masyarakat dalam membanteras kegiatan jenayah.

"Sehingga kini indeks jenayah Kelantan telah turun kepada 2.28 peratus melalui pelbagai strategi yang telah kita laksanakan. Kita ingin kekalkan momentum tersebut dan ia mampu dicapai dengan kerjasama semua pihak," katanya.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan dua buah buku berjudul '111 Tips Mencegah Jenayah' dan 'Jenayah, Penjenayah dan Mangsa Jenayah 100 Mitos dan Fakta' hasil kerjasama Polis Kelantan dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena karnival tersebut termasuk persembahan payung terjun dan pameran selain 120 gerai jualan.- BERNAMA

ArticlePublished 04 Jun 2015 2.13 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM