
Artikel
Hayati Hikmah Ibadah Korban Timbalan Kpn
Cheras, 19 Jun 2024 - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meneladani sikap pengorbanan dan kepatuhan Nabi Ibrahim A.S terhadap penciptaNya walaupun sentia...
Cheras, 19 Jun 2024 - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meneladani sikap pengorbanan dan kepatuhan Nabi Ibrahim A.S terhadap penciptaNya walaupun sentiasa diberikan ujian yang sangat berat. Walaupun begitu, setiap ujian dan tugasan itu dapat disempurnakan atas dasar ketaatan dan keimannya yang teguh terhadap Allah SWT.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ibadah korban hendaklah dilakukan dengan ikhlas bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT. dan menjadi manifestasi kepatuhan serta ketaatan manusia sebagai hamba Yang Maha Esa.
“Namun dalam konteks PDRM, kita perlu mencontohi pengorbanan dan kepatuhan dengan menterjemahkannya kepada khidmat bakti, kesetiaan dan pengorbanan kepada nusa serta bangsa, demi untuk melihat keamanan negara dan kesejahteraan masyarakat kekal berpanjangan”, ujar beliau sewaktu merasmikan Program Ibadah Korban Perdana PDRM Bagi Tahun 2024 di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), pagi tadi.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 22 ekor lembu yang disumbangkan oleh Persatuan Bekas Unit Tindakhas Malaysia, MyFundAction dan Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia (PERKASIH) kepada PDRM dikorbankan untuk diagih-agihkan kepada mereka yang layak.
Yang turut hadir, Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, SAC Datin Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin, Timbalan Pengarah (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi bersama isteri, Datin Syamson Syuhaila Razali, Founder and Main Advisor MyFundAction, Dr. Hj. Mohd Hizul Azri Hj. Md Noor, Pengerusi PERKASIH, Encik Mohd Shobri Said, wakil-wakil badan bukan kerajaan, Pegawai Kanan Polis serta ahli-ahli PERKEP.
Terdahulu kira-kira jam 8.30 pagi tadi turut berlangsung ibadah sama di Masjid Bukit Aman yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Ayob Khan dengan diiringi oleh Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pentadbir Masjid Bukit Aman, SAC Azhan Abdul Halim.
Dalam program gotong-royong ibadah korban dekat perkarangan masjid tadi, sebanyak lapan ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan dengan dagingnya diagih-agihkan kepada golongan yang memerlukan oleh Ahli Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Bukit Aman.