
Article
Hari Polis Ke 218 Timbalan Kpn Santuni Pesakit Kanak Kanak Di Hpkk
Kuala Lumpur, 13 Jun 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyantuni pesakit di Hospital Tunku Ampua...
Kuala Lumpur, 13 Jun 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyantuni pesakit di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Ia sebagai acara tahunan dalam kalendar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-218. Program anjuran Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama pihak HPKK itu bertujuan mendekati pesakit khususnya kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan.
Terdahulu, ketibaan Tan Sri Ayob Khan sekitar jam 9.00 pagi telah disambut oleh Pengarah JSPT merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri dan Timbalan Pengarah (Surgeri) HPKK, Profesor Madya Datuk Dr. Abdul Halim Abd Rashid.
Dalam ucapannya, Tan Sri Ayob Khan berkata, program sebegini menjadi platform untuk PDRM menzahirkan keprihatinan dan rasa kebersamaan dengan segenap lapisan masyarakat khususnya berkaitan kepentingan kesihatan serta kesejahteraan seisi keluarga.
“Saya percaya, ukhuwah yang terjalin antara polis dan masyarakat merupakan kunci utama dalam usaha memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di tahap tertinggi,” ujarnya.
Seusai itu, Tan Sri Ayob Khan bersama delegasi dibawa melawat pesakit di Wad Medikal iaitu Wad Pediatrik 1 yang merawat kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga 18 tahun termasuk dua anak warga PDRM yang menghidap pelbagai penyakit.
Sebagai simbol keprihatinan, PDRM telah menyumbangkan 20 unit alat bantu rangka jalan “Mobilis Rised Up Walking Frame” dan 80 unit peranti perubatan “MDI Spacer” (Aerochamber Plus Flow-Vu Antistatic) untuk kegunaan para pesakit yang sedang menjalani rawatan di hospital tersebut.
Hadir sama, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Dato’ Mohamed Usuf Jan Mohamad, warga kerja PDRM, UKM dan HPKK serta rakan media.
Jurugambar: PDRM RMP TV