Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Hari Polis Ke 218 Program Sayembara Dekon Bukti Warga Pdrm Angkat Martabat Seni Dan Budaya

Published: 23 Sep 2025 2.05 PM Updated: 17 Jul 2026 3.33 AM
Kuala Lumpur, 23 September 2025 - Program Sayembara Dekon menjadi bukti bahawa warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja menjaga keamanan tetapi juga mengangkat martabat seni dan budaya bangsa.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/hari-polis-ke-218-program-sayembara-dekon-bukti-warga-pdrm-angkat-martabat-seni-dan-budaya
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 05:08 MYT
Kuala Lumpur, 23 September 2025 - Program Sayembara Dekon menjadi bukti bahawa warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja menjaga keamanan tetapi juga mengangkat martabat seni dan budaya bangsa.

Program yang bertemakan "Bahasa Jiwa Bangsa" itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersempena sambutan Hari Polis Ke-218 Tahun 2025 dekat Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Ketibaan beliau kira-kira jam 3.00 petang tadi disambut oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Cawangan Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Datuk Ibrahim Darus.

Program yang berlangsung dari bulan Ogos sehingga ke hari ini penganjuranya telah disertai sebanyak 14 kumpulan iaitu tiga jabatan dan lima kontinjen dalam PDRM dari seluruh negara. Ia merupakan pertandingan seni deklamasi dan lakonan yang sarat dengan nilai seni serta budaya melibatkan warga Pasukan Sang Saka Biru.

Berucap dalam program yang diadakan, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kolaborasi bersama PDRM bagi merealisasikan program yang amat bermakna dalam menyemarakkan semangat perjuangan luhur demi negara, bangsa dan agama.

"Sayembara Dekon ini bukan sekadar untuk memartabatkan penggunaan Kesusasteraan Melayu dalam kalangan warga PDRM, sebaliknya memperkasakan semangat patriotisme, memperjuangkan kedaulatan dan keselamatan negara tercinta.
"Sebagai institusi penguat kuasa terulung negara, PDRM tidak hanya bertanggungjawab memastikan keamanan kekal terpelihara menerusi penguatkuasaan undang-undang tetapi turut berperanan menyemai rasa cinta terhadap negara dalam kalangan masyarakat menerusi pelbagai platform", ujar beliau lagi.

Dalam pertandingan yang diadakan telah mengangkat Kumpulan Gema Sakti Bangsa dari Cawangan Khas Bukit Aman sebagai johan dalam Sayembara Dekon kali ini, dengan tajuknya 'Degupan Hati Malaya'. Manakala, tempat kedua milik Kumpulan Seputeh Karya dari Kontinjen Kelantan dan Kumpulan Gema Akinabalu dari Kontinjen Sabah di tempat ketiga.

Selain itu, Anugerah Khas turut diberikan kepada beberapa kategori pertandingan iaitu Poster Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Gema Sakti Bangsa dari Cawangan Khas bertajuk 'Degupan Hati Malaya' dan kategori Skrip Terbaik milik Kumpulan Duo Collab dari Jabatan Pengurusan Bukit Aman yang bertajuk 'Perisai Tanah Bertuah'.

Bagi kategori Pelakon Terbaik menyaksikan Inspektor Muhammad Faizul Mustafa dari Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pemenang dan Pengarah Terbaik milik Sarjan Ardiansyah Wayang dari Kontinjen Sabah.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa, barisan Timbalan Pengarah PDRM, barisan Ketua Polis Negeri dan para pegawai kanan PDRM dan DBP.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim

ArticlePublished 23 Sep 2025 2.05 PMUpdated 17 Jul 2026 3.33 AM