
Article
Hari Polis Ke 216 Kpn Dan Pengerusi Perkep Santuni Penghuni Hpkk
Kuala Lumpur, 13 Jun 2023 – Sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-216, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri mer...
Kuala Lumpur, 13 Jun 2023 – Sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-216, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa berbesar hati menyantuni penghuni Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, pagi tadi.
Ketibaan Tan Sri Acryl Sani bersama isteri disambut oleh Pengarah HPKK, Profesor Datuk Dr. Ismail Sagap dengan diiringi oleh Ketua Polis (KP) Kuala Lumpur, CP Dato’ Mohd Suhaily Mohd Zain bersama Pengerusi PERKEP Kontinjen Kuala Lumpur, Datin Ennie Salina Roseli di perkarangan lobi Hotel Zecon, HPKK pada jam 9.00 pagi tadi.
Aktiviti yang diadakan setiap tahun itu telah dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bertujuan menyuntik semangat kepada para pesakit dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam yang menerima rawatan di HPKK.
Antara tempat yang dilawati adalah Wad Pediatrik Surgical dan Wad Pediatrik Medical hospital berkenaan. Dalam program tersebut, Tan Sri Acryl dan isteri turut menyampaikan sumbangan lima buah kerusi roda sebagai tanda keprihatinan PDRM kepada mereka yang memerlukan bantuan.
KPN dalam ucapannya menekankan bahawa pentingnya kerjasama yang sedia terjalin di antara PDRM dan rakan strategik khususnya HPKK, UKM yang banyak membantu dari segi perubatan serta ukhwah yang terjalin dapat diteruskan bagi kesejahteraan masyarakat sejagat.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM bersama isteri, Timbalan Pengarah JSJN (Risikan/Operasi) Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad mewakili Pengarah JSJN selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Timbalan KP Selangor, DCP Dato’ Sasikala Devi Subramaniam, sebahagian warga kerja PDRM, UKM dan HPKK, ahli-ahli PERKEP serta rakan-rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.


















