
Article
Hari Polis Ke 216 Kawal Nafsu Alhamdulillah Segalanya
Kuala Lumpur, 23 Mac 2023 – Sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-216, Polis Diraja Malaysia menerusi Cawangan Khas dengan kerjasama Radio Televisyen Malay...
Kuala Lumpur, 23 Mac 2023 – Sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-216, Polis Diraja Malaysia menerusi Cawangan Khas dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam bertempat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.
Forum yang bertajuk “Kawal Nafsu Alhamdulillah Segalanya” itu telah menampilkan tiga ahli panel iaitu Timbalan Pengarah (Agama & Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, DCP Dato’ Hj. Ghazali Hj. Daud, Penceramah dan Pendakwah Bebas, Ustaz Zul Ramli M. Razali, Profesor Madya Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, JAKIM, Ustaz Zakaria Hj. Othman sebagai moderator.
Antara inti pati yang disimpulkan dalam forum berkenaan adalah hawa nafsu merupakan perkara yang besar dan memerlukan usaha yang gigih untuk mengawalnya daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Justeru, kita hendaklah sentiasa melakukan perkara mahmudah bagi menghindari perkara mazmumah dengan menguatkan hubungan diri dengan Allah SWT.
Hadir sama dalam forum berkenaan ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah dan isteri Datin Seri Hamisah Hussin, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan isteri, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga (PERKEP) Malaysia, Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Hj. Baharuddin Hj. Ahmad merangkap Pengerusi jawatankuasa penganjur bersama isteri, Datin Hasimah Yon Abdul Latiff merangkap Pengerusi PERKEP Cawangan Khas, barisan Pengarah, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin dan rakan media.
Jurgambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri




