Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Hari Polis Ke 216 Air Mata Kasih Pemimpin Negara Pucuk Pimpinan Pasukan Sebak Tonton Pantomim Insiden Lahad Datu

Published: 20 Mar 2023 12.32 PM Updated: 17 Jul 2026 3.32 AM
Kuala Lumpur, 20 Mac 2023 - Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 yang disambut di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, pagi tadi bertukar hiba apabila beberapa pemimpin negara dan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sebak saat menonton pantomim khas insiden pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan dua warga PDRM, sedekad lalu.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/hari-polis-ke-216-air-mata-kasih-pemimpin-negara-pucuk-pimpinan-pasukan-sebak-tonton-pantomim-insiden-lahad-datu
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 05:53 MYT

Kuala Lumpur, 20 Mac 2023 - Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 yang disambut di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, pagi tadi bertukar hiba apabila beberapa pemimpin negara dan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sebak saat menonton pantomim khas insiden pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan dua warga PDRM, sedekad lalu.

Persembahan yang menyingkap semula detik sebenar wira-wira negara yang terkorban ketika bertempur dengan kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' itu turut menampilkan secara khas anak-anak kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud.

Mereka ialah adik Mohd Norakmat Amiruddin Zulkifli yang ketika kejadian berusia lima tahun dan kini berusia 15 tahun, Noor Muhammad Aqil Zulkifli (11 tahun), Noor Aqib Syahid Zulkifli yang dalam kandungan ibunya kini berusia 10 tahun dan Haziq Wahiduzzaman Sabarudin (28 tahun).

Suasana bertambah sayu apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Al-Mutawakkil Allallah Sultan Iskandar Al-Haj dilihat turun dari pentas diraja dan berkenan menyantuni anak-anak wira negara itu di hadapan tetamu yang hadir.

Turut menjayakan pantomim khas tadi ialah ketua-ketua sektor sewaktu pertempuran berlaku iaitu Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Khas), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC Anuar Rosdi, Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Abdul Rani Alias, Timbalan Komander Briged Tenggara PGA, ACP Hakemal Hawari dan Timbalan Komander 69 Komando, ACP Rosmadi Rosli.

Insiden berdarah yang meninggalkan sejarah hitam negara itu turut mencederakan beberapa anggota polis yang lain iaitu Sarjan Mohd Tarmizi Hashim dan Koperal Mohamed Qaiyum Aiq Zolkifli yang kini masih berkhidmat menabur jasa serta bakti kepada negara.

Hari Polis yang disambut pada tanggal 25 Mac saban tahun itu disambut hari ini secara serentak di seluruh kontinjen PDRM sebagai persediaan menjelangnya bulan mulia Ramadan beberapa hari lagi.

Terdahulu istiadat yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dihadiri oleh Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan PM merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof bersama isteri Datin Sri Hjh. Ruziah Mohd Tahir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri, Datin Seri Norhayati Musa serta Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia.

Menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah 105 anggota kawalan kehormatan utama daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Mohd Zulfadhli Zulkifli yang dibantu oleh ASP Mohd Syafiq Ghazali.

Turut dipersembahkan kepada baginda berdua ialah lintas hormat daripada 10 jabatan dalam PDRM dan satu detachment Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta aset-aset darat dan udara Pasukan.

Antara aset yang mengambil bahagian ialah 18 ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Siasatan Jenayah, 13 ekor kuda dari Unit Berkuda PSP, tiga buah helikopter milik Pasukan Gerakan Udara, 20 buah motosikal berkuasa tinggi, 26 buah kenderaan termasuk kereta perisai Commando V-150 dan Sankey At-105 yang digunakan Skuadron Kereta Perisai Briged Utara, PGA.

Tertib acara tadi diserikan lagi dengan tiga kali laungan gempita 'Daulat Tuanku' daripada seluruh warga Pasukan sebagai tanda menjunjung kasih atas keberangkatan tiba baginda berdua yang bercemar duli menzahirkan istiadat yang gilang-gemilang itu.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Afendi Buang TUDM bersama isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh. Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj. Ahmad Shah, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato' Hj. Ruji Hj. Ubi bersama isteri, Datin Kamariah Abd Rahman, barisan Pengarah PDRM bersama isteri dan para pesara polis.

Bagi pihak KPN dan Timbalan KPN serta seluruh pacal PDRM, merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua berangkat bercemar dulu ke Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023, pagi tadi.

Sesungguhnya, keberangkatan KDYMM Tuanku berdua amatlah ditunggu-tunggu dan pastinya istiadat yang bersejarah pada hari ini akan memahat anugerah kenangan terindah buat warga Sang Saka Biru. 

Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Ibidin, Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.

May be an image of 4 people, people standing and indoor

May be an image of 3 people, people standing and indoor

May be an image of 5 people, people standing and headscarf

May be an image of 9 people, people standing, headscarf, outdoors and text that says '216 HARI POLIS'

May be a close-up of 1 person, standing and text that says '216 HARI POLIS SAK'

May be an image of 11 people, people standing and outdoors

May be an image of 5 people, people standing, outdoors and text that says '216 HARI POLIS'

May be an image of 3 people, outdoors and text that says '216 HARI POLIS PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU KPDRM'


ArticlePublished 20 Mar 2023 12.32 PMUpdated 17 Jul 2026 3.32 AM