
Article
Hari Polis Ke 215 Yang Di Pertuan Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja
Kuala Lumpur, 26 Mac 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni...
Kuala Lumpur, 26 Mac 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Diraja bersempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun 2022, di Hotel The St. Regis, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti AlMarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan tiba baginda berdua di hotel tersebut pada kira-kira jam 8.30 malam, disambut hampir 170 para pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh kontinjen.
Baginda berdua berkenan meluangkan masa hampir tiga jam di dalam majlis tersebut sebelum bersama-sama warga PDRM lain ke acara memotong kek sebagai simbolik meraikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215, tahun ini.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani merangkap Yang Dipertua Mes PDRM, Timbalan MDN II, Datuk Jonathan Yasin, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz dan Timbalan KPN, DIG Dato’ Razarudin Husain.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Santapan Diraja, CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan, barisan Pengarah PDRM dan para jemputan khas.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.
