
Artikel
Hari Kebangsaan Ke 66 Kpn Sempurnakan Majlis Pelepasan Madani Ride Pdrm Dan Isbc
Kuala Lumpur, 16 Ogos 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi menyempurnakan pelepasan Madani Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM)...
Kuala Lumpur, 16 Ogos 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain pagi tadi menyempurnakan pelepasan Madani Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Super Bike's Club (ISBC) sempena Peringatan Hari Polis ke-216 dan Bulan Kemerdekaan Tahun 2023 dekat Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini.
Lebih menarik lagi, peta laluan jelajah konvoi dijangka melepasi sehingga ke Selatan negara jiran, Thailand.
Turut diadakan tadi ialah taklimat yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalulintas) Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Mohd Yatim Hj. Osman di hadapan 150 peserta yang mengambil bahagian dalam acara kali ini.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin yang berucap dalam majlis tadi berharap agar program kebajikan seumpama itu mampu menjadi contoh kepada pihak luar untuk berganding bahu bersama PDRM dengan menjadi rakan strategik dalam program "Community Policing" demi kepentingan rakyat dan negara.
Tambah beliau, konvoi kali ini juga akan diserikan dengan penyertaan daripada rakan Royal Thai Police yang dapat mempamerkan manifestasi keakraban antara agensi penguatkuasaan kedua-dua buah negara berjiran.
Beliau yang kemudiannya diiringi Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Awam selaku Penasihat Jawatankuasa Program, CP Dato' Sri Hazani Ghazali turut diberi penghormatan menurunkan tandatangan di plak Madani Ride sebagai simbolik pelancaran.
Hadir sama, Setiausaha Agung Persatuan Superbike's Malaysia, Datuk Sulaiman Sami'an, Pengerusi ISBC, Encik Chia Poh Huat, barisan pengarah PDRM, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Allaudeen Abdul Majid, para pegawai kanan dan rakan-rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery




