
Article
Hak Asasi Manusia Pdrm Jadikan Mata Pelajaran Teras Kepada Semua Pegawai Dan Anggota Yang Berkhidmat
Kuala Lumpur, 18 April 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini selangkah ke hadapan dalam memastikan setiap pegawai kanan dan pegawai rendahnya dapat mela...
Kuala Lumpur, 18 April 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini selangkah ke hadapan dalam memastikan setiap pegawai kanan dan pegawai rendahnya dapat melaksanakan tugas dengan penuh integriti serta mahir tentang hak asasi manusia apabila dua mata pelajaran baharu dijadikan kompetensi utama bagi modul Pengurusan Kepolisan di dalam Program Latihan Asas Kepolisan.
Dua mata pelajaran tersebut ialah 'Prinsip Keadilan' dan 'Integriti dan Menghormati Hak Asasi Manusia' bakal dilaksanakan di semua pusat latihan polis serta turut didedahkan kepada para peserta program kursus jangka panjang anjuran PDRM seperti Diploma Siswazah Sains Kepolisan, Diploma Eksekutif Sains Siasatan dan Sarjana Sains Kepolisan.
Menurut Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani usaha tersebut juga dibuat bagi memastikan warga Pasukan sentiasa berusaha ke arah memperkasakan lagi penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Berucap dalam Majlis Pelancaran Modul Hak Asasi Manusia Untuk PDRM di Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini, Tan Sri Acryl Sani memaklumkan modul yang dibangunkan hasil kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) tersebut akan dijadikan bahan rujukan tambahan dan panduan kepada tenaga pengajar PDRM.
"Naskah ini dibangunkan secara kolektif untuk dijadikan sebagai bahan rujukan tambahan dan panduan kepada tenaga pengajar PDRM dalam menyampaikan kursus berkaitan hak asasi manusia kepada Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis agar mengikuti standard sepertimana yang telah ditetapkan," ucap beliau.
Buku Modul Hak Asasi Manusia Untuk PDRM yang dilancarkan tadi akan diedarkan di seluruh Pusat Latihan Polis dan formasi Pasukan.
Hadir sama dalam majlis tadi ialah Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Othman Hashim, United Nation Resident Coordinator In Malaysia, Brunei Darussalam and Singapore, Miss Karima El-Korri, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Timbalan KPN, DIG Dato' Razarudin Husain dan Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato' Zaini Jass.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.