Geng Tebuk Pecah Bank Tumpas
PULAU PINANG 3 Jun 2010 - Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah 'Geng Tebuk' yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah bank Ar-Rahnu dan kedai emas di beberapa negeri termasuk Kelantan, Johor, Perlis dan Perak dengan penahanan dua lelaki di Lebuh Sungai Pinang di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Dato' Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kedua-dua mereka yang berusia 37 dan 45 tahun ditahan kira-kira pukul 5.45 petang semalam di sebuah rumah mewah tiga tingkat di kawasan Ocean View di sini oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Katanya, susulan penahanan kedua-dua lelaki itu, polis menemui pelbagai peralatan untuk menebuk dinding dan bilik kebal yang canggih seperti mesin gerudi, pemotong besi elektrik dan gas serta mata gerudi dalam rumah suspek.
Turut dirampas, tiga buah kenderaan mewah termasuk Toyota Estima yang dikosongkan bahagian belakangnya untuk membawa peralatan tersebut.
Polis turut menemui sebuah komputer riba yang mengandungi senarai kedai pajak gadai Islam Ar-Rahnu serta pelan bangunan yang dipercayai digunakan apabila menebuk premis yang dijadikan sasaran.
"Salah seorang suspek berasal dari Ulu Tiram, Johor dan mereka dipercayai mempunyai banyak rumah sewa untuk menyimpan peralatan tersebut selain sedang merancang untuk melakukan jenayah.
"Bagaimanapun, hasil maklumat orang ramai, kita berjaya mematahkan rancangan mereka. Jika tidak, berdasarkan alatan yang kita temui, kita yakin, ada premis yang akan menjadi sasaran. Ia bukan melibatkan kerugian sedikit tetapi puluhan juta ringgit," katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut hari ini.
Dua tahun lalu, negara digemparkan dengan rompakan barangan kemas bernilai RM18 juta yang disimpan dalam 238 peti simpanan membabitkan bilik kebal kedai pajak gadai Islam Ar-Rahnu Kota Bharu milik Kumpulan Permodalan Kelantan Berhad anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan.
Tidak sampai beberapa bulan, kejadian sama berlaku melibatkan modus operandi serupa berlaku di Kangar, Perlis mengakibatkan kerugian hampir RM8 juta dan di cawangan Muadzam Shah, Johor dengan kerugian RM1.058 juta.
Kes lain yang dikenal pasti mempunyai modus operandi sama termasuk di Bahau, Negeri Sembilan dan Rompin, Pahang.
Menurut Tun Hisan, polis turut merampas enam pucuk pistol tiruan, selaras senapang tiruan, lima cukai jalan palsu, tujuh nombor pendaftaran palsu, satu beg berisi pelbagai jenis kunci, tiga telefon serta tiga kereta termasuk sebuah model BMW.
Katanya, kesemua barang yang dirampas itu ditemui daripada tiga buah rumah yang diperiksa anggota polis termasuk di kediaman suspek pertama di Harmony View, Lintang Slim Jelutong dan di kediaman suspek kedua di Pangsapuri Treasure Ville di Bandar Baru Pulau Pinang.
Tambah Tun Hisan, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci berhubung latar belakang kedua-dua suspek dan tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai ramai anggota.
Jelasnya, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati, suspek kedua yang merupakan seorang juruelektrik positif dadah dan memiliki tiga rekod jenayah lampau. Suspek pertama yang bekerja sebagai kontraktor pula hanya mempunyai mempunyai satu rekod lampau.
"Berdasarkan siasatan, kita percaya sindiket ini terbabit dalam rompakan kedai pajak gadai Islam Ar-Rahnu di beberapa negeri seperti Kelantan, Johor dan Perak. Polis juga tidak menolak kemungkinan terdapatnya orang dalam yang membekalkan pelan kedai pajak gadai Islam Ar-Rahnu atau kedai emas yang disasarkan.
"Kita juga percaya kumpulan ini telah bergiat lama dalam jenayah tersebut dan ahlinya berada di seluruh negara. Justeru, kita akan menjalinkan kerjasama dengan pasukan polis dari negeri-negeri lain dalam usaha untuk memburu saki baki sindiket ini," katanya.