Geng Remaja Tumpas 80 Kes Samun Di Melaka Selesai
Melaka,
4 April - Polis Melaka menumpaskan 'Geng Amir' yang dianggotai lapan
remaja dipercayai aktif melakukan kira-kira 80 kes samun dan ragut di
sekitar negeri ini sejak November tahun lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata
kesemua remaja itu yang berusia antara 15 dan 18 tahun termasuk seorang
pelajar sekolah ditahan di beberapa lokasi di negeri ini pada Rabu
lepas.
Beliau
berkata tangkapan pertama melibatkan ketua kumpulan yang dikenali
sebagai Amir, berusia 15 tahun dan tidak bersekolah, di rumahnya di
Padang Temu pada 4 petang disusuli penahanan tujuh lagi rakannya di
Kandang, Duyong dan Semabok.
"Tangkapan
itu hasil maklumat orang awam susulan laporan seorang jurujual wanita
berusia 18 tahun yang disamun ketika menaiki motosikal di Taman Melaka
Raya," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau
berkata dalam kejadian 10 malam, 13 Mac lepas, mangsa mendakwa beg
tangannya yang mengandungi wang tunai RM1,000, sebuah telefon bimbit,
kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad insurans
diragut dua lelaki bermotosikal.
Raja
Shahrom berkata berikutan tangkapan itu, polis merampas lima telefon
bimbit pelbagai jenis dipercayai milik mangsa samun dan sebuah motosikal
Honda EX5 curi serta satu topi keledar daripada anggota kumpulan
terbabit.
Menurutnya
siasatan awal mendapati kumpulan itu aktif melakukan samun di beberapa
lokasi di negeri itu termasuk di Jonker Walk, Taman Melaka Raya,
Peringgit, Jalan Bendahara, Jalan Mufti Haji Khalil dan Lebuh Alor
Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).
Dalam
kes berasingan, beliau berkata empat lelaki termasuk seorang guru
berusia antara 24 dan 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung
sindiket menjual kereta curi di negeri ini.
Polis
turut merampas lima kenderaan mewah iaitu dua Toyota Estima dan
masing-masing satu Honda Civic, Subaru dan BMW daripada mereka.
Menurutnya tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki termasuk guru
terbabit di Peringgit pada 5 petang, 30 Mac lepas dan pihaknya merampas
Toyota Estima yang dilaporkan hilang di Prai, Pulau Pinang tahun lepas.
Seorang pensyarah lelaki berusia 30-an yang membeli Toyota Estima itu pada harga RM30,000 turut dipanggil membantu siasatan.
"Modus
operandinya ialah mencuri kereta dari luar Melaka dan menjualnya di
negeri ini dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran,"
katanya.
Sumber : BERNAMA