Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Geng Curi Motosikal Tumpas

Diterbitkan: 13 Jun 2014 5.35 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis menumpaskan sebuah kumpulan curi motosikal 'Aidil Bukit Rambai' berikutan penahanan sembilan remaja lelaki termasuk empat pelajar sekolah dalam operasi yang diadakan mulai 2 hingga 6 Mei lalu..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/geng-curi-motosikal-tumpas
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 20:17 MYT

MELAKA 14 Mei 2010 - Polis menumpaskan sebuah kumpulan curi motosikal 'Aidil Bukit Rambai' berikutan penahanan sembilan remaja lelaki termasuk empat pelajar sekolah dalam operasi yang diadakan mulai 2 hingga 6 Mei lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, turut ditahan dalam 'Ops Lejangitu ialah tiga lelaki yang bertindak sebagai pembeli motosikal curi.

Katanya, mereka yang ditahan termasuk ketuanya seorang pelajar.

Beliau berkata, berikutan tangkapan itu, polis menemui semula dua rangka motosikal, satu enjin dan sebuah motosikal yang masih belum dileraikan komponennya.

Siasatan polis mendapati, motosikal yang dicuri dileraikan komponennya untuk dijual manakala rangkanya dibuang ke dalam sungai untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

''Kumpulan ini dipercayai bergerak aktif sejak awal tahun lalu di sekitar Bukit Rambai, Tanjung Keling dan Tanjung Minyak,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ekoran penangkapan itu, katanya, polis percaya, pihaknya dapat menyelesaikan sembilan kes kecurian motosikal di daerah ini.

Mohd. Adnan menambah, kumpulan itu mensasarkan motosikal jenis Honda EX5 kerana ia boleh dijual pada harga yang agak tinggi ekoran terdapat banyak permintaan.

''Kumpulan remaja terbabit hanya mengambil masa singkat untuk mencuri motosikal iaitu dengan mematahkan kunci handle (pemegang motosikal) itu sebelum melarikannya,'' katanya.

Menurut beliau, sebaik sahaja motosikal itu dilarikan, remaja terbabit akan meleraikan beberapa bahagian motosikal curi itu untuk dijual di pasaran gelap.

Tambahnya, kesemua mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Beliau berkata, jenayah curi motosikal di daerah ini meningkat sebanyak 167 kes sejak lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 5.35 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM