Esscom Tahan 20 Individu Tiada Dokumen Pengenalan Diri
Kota
Kinabalu, 29 Dis - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)
semalam melancarkan Ops GASAK 2 di Pulau Kalapuan, perairan Semporna
yang menyaksikan 20 individu termasuk enam wanita dan lima kanak-kanak
ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri
yang sah.
Ketua
Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata kesemua suspek berusia
dalam lingkungan empat bulan hingga 50 tahun ditahan pada operasi yang
bermula seawal pukul 3.30 pagi berakhir kira-kira pukul 2.30 petang.
"Hasil
pemeriksaan mendapati seramai sembilan lelaki dewasa, enam wanita
dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan
yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pun pengenalan diri yang sah
dan telah ditahan pemeriksaan lanjut oleh pihak Jabatan Imigresen.
"Pulau
Kalapuan didiami penduduk seramai 665 orang, termasuk 149 lelaki, 235
wanita, 135 orang kanak-kanak lelaki dan 126 orang kanak-kanak
perempuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad
berkata Ops GASAK 2 merupakan susulan kepada Ops GASAK 1 yang
dilancarkan pada 24 Nov lepas melibatkan empat pulau iaitu Pulau Pom
Pom, Pulau Mataking, Pulau Mabul dan Kapalai.
Beliau
berkata OP GASAK 2 antara lain bertujuan untuk pencegahan dan
pembersihan kawasan dari penceroboh dan penjenayah termasuk aktiviti
dadah dengan modus operandi tertumpu kepada pemeriksaan dari rumah ke
rumah.
Mohammad
berkata sebanyak 90 rumah diperiksa dalam operasi bersepadu yang
dilaksanakan membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan
termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen,
Jabatan Pendaftaran Negara dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah.
Beliau
berkata operasi seumpama itu akan diteruskan di kawasan pulau yang
mempunyai penempatan dan kawasan penempatan lain (selain dari Pulau).
Sehubungan
itu, Mohammad memohon kerjasama penduduk di kawasan terbabit supaya
melaporkan kehadiran pendatang tanpa izin (PATI) atau mereka yang dalam
keadaan meragukan.
Mohammad
turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka
yang memberi perlindungan kepada PATI khususnya yang menyewakan rumah
kepada mereka.
Sumber : BERNAMA