Enam Warga Indonesia Ditahan Cuba Masuk Negara Secara Haram
Kota Tinggi, 15 Nov - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan enam lelaki warga Indonesia di kawasan pantai Kompleks Sukan Air dan Udara, Bandar Penawar,di sini, awal pagi tadi selepas didapati cuba memasuki negara ini secara tidak sah.
Menurut Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang, keenam-enam lelaki itu termasuk seorang tekong dan pembantu tekong dikesan PPM Pengerang ketika sedang menuju ke arah pantai dengan menaiki sebuah bot laju kira-kira pukul 1.30 pagi.
"Walaupun bot yang dinaiki suspek telah diarahkan untuk berhenti, namun ia tidak diendahkan. Mereka juga cuba meloloskan diri namun berjaya diberkas," jelas beliau.
"Turut dirampas sebuah bot dan tiga unit enjin sangkut," tambah beliau lagi.
Kes disiasat di bawah ATIPSOM dan Akta Imigresen 1959/63.