Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Enam Pelajar Warga Nigeria Ditahan Disyaki Edar Dadah Sekitar Serdang

Published: 06 May 2016 8.19 AM Updated: 15 Aug 2026 7.29 PM
Serdang, 6 Mei- Enam pelajar kolej swasta warga Nigeria dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sekitar daerah Serdang ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini pada Rabu dan semalam.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/enam-pelajar-warga-nigeria-ditahan-disyaki-edar-dadah-sekitar-serdang
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 19:23 MYT

Serdang, 6 Mei- Enam pelajar kolej swasta warga Nigeria dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sekitar daerah Serdang ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini pada Rabu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Cawangan Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Seksyen 5, Taman Serdang Perdana dua hari lepas, polis menahan empat suspek lelaki dan seorang wanita.

Katanya, kesemua suspek merupakan pelajar kolej swasta sekitar Ampang.

"Hasil serbuan polis merampas satu ketul mampat dadah dipercayai ganja seberat 860 gram bernilai kira-kira RM3,000 dan 14 ketul bahan disyaki dadah yang dibalut dengan foil dengan berat 102g dianggarkan bernilai RM3,800.

"Punca bekalan dadah dipercayai dari kawasan Taman Connaught, Cheras dan semua suspek lelaki positif dadah jenis ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Megat Mohd Aminuddin berkata semalam polis menahan seorang lagi suspek lelaki ketika dia meletakkan kenderaannya di hadapan premis di Jalan SP 2/8, Taman Serdang Perdana.

Suspek merupakan pelajar kolej swasta di Jalan Tun Razak, dekat sini, katanya.

Menurutnya, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh polis dan kunci kereta jenis Mywi milik suspek turut dirampas.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu polis menemukan dua ketul mampat yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja dengan berat kira-kira 2,000g anggaran bernilai RM7,600," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari hari mereka ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.- BERNAMA

ArticlePublished 06 May 2016 8.19 AMUpdated 15 Aug 2026 7.29 PM