Empat Suspek Ditahan Curi Kabel Bernilai Rm40 000
Georgetown,
19 Nov (Bernama) - Polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga
lelaki warga Indonesia semalam, disyaki terbabit dalam kes curi kabel
bernilai RM40,000 di tapak projek sebuah kilang di Bayan Lepas, Jumaat
lepas.
Ketua
Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata hasil risikan
polis, lelaki tempatan berumur 49 tahun dan warga Indonesia berusia
lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan di sekitar Bukit Tengah, Bukit
Mertajam dan Seberang Perai dekat sini lewat petang semalam.
"Kita
juga mendapati warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan
yang sah dan dipercayai sebahagian besar kabel yang dicuri itu telah
dijual," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau
berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Tengah, polis turut
menjumpai enam mesin penebuk lubang, empat tukul gerudi, lima mesin
pengisar dan satu mesin pemotong pelbagai jenama serta 12 ikat wayar
tembaga dipercayai barangan curi.
Jumaat
lepas, sebanyak 165 gulung kabel dilaporkan hilang selepas suspek yang
dipercayai terdiri daripada empat hingga tujuh lelaki bersenjata parang
panjang dan kayu, mengugut tiga pekerja yang menjaga kontena penyimpanan
barang di tapak projek di Bayan Lepas pada pukul 4 pagi.
Mohd
Hatta berkata polis percaya suspek mengangkut kesemua kabel itu
menggunakan kereta curi dan siasatan lanjut mendapati mereka memotong
manga besi di pintu utama sebelum menceroboh masuk tapak projek
berkenaan.
"Tiga
daripada suspek bertindak mengangkut kabel itu sementara dua menjaga
pintu masuk dan dua lagi dipercayai menunggu di kereta," katanya.
Katanya
polis masih memburu tiga lagi rakan mereka yang masih bebas dan yakin
akan dapat menahan kesemua suspek dalam masa terdekat.
Mohd
Hatta berkata kesemua mereka kini ditahan reman untuk siasatan mengikut
Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sumber : BERNAMA