Empat Lelaki Tempatan Dan Dua Wanita Vietnam Ditahan Di Sung
Muar,
16 Nov - Polis menahan empat lelaki tempatan dan dua wanita warga
Vietnam serta merampas 28 butir peluru, wang tunai RM5,000 dan sejumlah
dadah dalam tiga serbuan Ops Cantas Khas di sekitar Sungai Abong di sini
pada 11 Nov dan Khamis lepas.
Dalam
serbuan pertama pada pukul 12 tengah hari 11 Nov lepas, polis menahan
seorang lelaki tempatan 41 tahun dan dua wanita Vietnam berumur 26 dan
27 tahun di sebuah rumah di Sungai Abong di sini.
Ketua
Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman berkata hasil pemeriksaan
polis menemui peluru jenis 38 Super dan empat gram syabu yang boleh
digunakan 21 orang penagih.
"Kita
masih meneruskan siasatan ke atas lelaki terbabit untuk mengesan
senjata api yang masih belum ditemui," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Katanya,
lelaki itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau sejak 1989 hingga 2005
membabitkan kes samun, jenayah pecah rumah dan dadah, manakala dua
rakyat Vietnam itu baru sebulan berada di Malaysia dan kesemua mereka
positif dadah.
Dalam
serbuan di sebuah rumah di kawasan yang sama pada 2.20 petang Khamis
lepas, polis memberkas dua lelaki berumur 34 dan 41 tahun dan merampas
dadah syabu seberat 6 gram, 500 gram heroin, 48 butir pil ecstacy, 48
paket serbuk ecstacy, 120 gram eramin, diagram ketamin, kesemunya
bernilai RM24,000 dan boleh menampung 4,000 orang penagih.
"Turut
dirampas ialah wang tunai RM5,000 yang disimpan dalam sebuah peti besi
di rumah yang didiami suspek. Mereka ditahan dan disiasat mengikut
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya yang mengesahkan
kedua-duanya positif dadah dan dipercayai telah lama terlibat mengedar
dadah.
Dalam
serbuan ketiga di sebuah hotel bajet di Sungai Abong pada 4 pagi hari
yang sama, polis menahan seorang lelaki berumur 25 tahun dari Mersing
dan merampas peralatan pecah rumah dan kereta, senjata tajam serta
sejumlah kecil dadah.
Polis
percaya lelaki terbabit yang baru sehari berada di Muar
bertanggungjawab dalam kes mendatangkan kecederaan ke atas seorang
individu di bandar itu kelmarin. Katanya, lelaki itu yang dipercayai
melakukan pecah rumah dan menggunakan hotel-hotel bajet untuk berlindung
daripada dikesan polis.
Sumber : BERNAMA