Empat Lelaki Dipercayai Terlibat Culik Ahli Perniagaan Diber
Kuala
Lumpur, 17 Julai - Hasrat empat lelaki untuk berpesta dengan wang
tebusan RM10,000 yang diperoleh daripada jenayah culik, tidak kesampaian
apabila polis menahan kesemua mereka dalam dua serbuan semalam.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam
serbuan pertama di kawasan perumahan di Kepong pukul 1 tengah hari,
polis menahan seorang lelaki yang membawa kepada penahanan tiga lagi
lelaki di sebuah hotel bajet di Sri Damansara sejam selepas itu.
"Kesemua
suspek berumur 30 hingga 44 tahun. Dalam serbuan di hotel itu, polis
turut menahan dua wanita masing-masing dari China dan Vietnam yang ada
bersama suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau
berkata empat suspek berkenaan ditahan kerana disyaki terlibat dengan
kejadian menculik seorang ahli peniagaan berusia 52 tahun yang sedang
berjoging di Kepong di sini.
Ku
berkata dalam kejadian 6 pagi semalam, mangsa dilarikan empat suspek
dengan sebuah kereta sebelum meminta keluarga mangsa membayar wang
tebusan RM20,000.
Beliau
berkata tindakan isteri dan anak mangsa yang melaporkan kejadian itu
kepada polis telah menggagalkan usaha penjenayah berkenaan dan polis
turut merampas sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar keluarga
mangsa.
"Dalam
serbuan itu, polis turut merampas kereta Toyota Camry, Vios dan Honda
Civic yang dipercayai disamun suspek di sekitar Lembah Klang selain
beberapa bilah parang dan peralatan pecah rumah," katanya.
Beliau
berkata dengan tertangkapnya empat suspek berkenaan, polis kini memburu
saki-baki anggota kumpulan penjenayah itu yang dipercayai aktif
melakukan jenayah samun, peras ugut dan culik di sekitar ibu negara dan
Selangor.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 3, Akta Culik 1961.






Sumber : BERNAMA