Empat Individu Ditahan Dadah Bernilai Rm100 000 Dirampas
Empat Individu Ditahan, Dadah Bernilai Rm100,000 Dirampas
Ipoh,
8 April - Polis Perak berjaya melumpuhkan kes pengedaran dadah terbesar
setakat ini tahun ini dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk dua
anak beranak dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM100,000 di
Taiping Khamis lepas.
Ketua Polis Perak Dato' Mohd Shukri Dahlan berkata kegiatan itu dilumpuhkan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping.
"Dalam
serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Ria pada pukul 2.45 petang,
polis menahan dua beranak yang si bapa yang berumur 57 tahun bekerja di
Majlis Perbandaran Taiping manakala anaknya yang berumur 33 tahun
bekerja di bengkel besi," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau
berkata susulan daripada soal siasat terhadap kedua-duanya, satu lagi
serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Sungai Mas dan dua
lelaki ditahan.
"Pada
mulanya anggota kita mengarahkan penghuni rumah terbabit membuka pintu
gril yang berkunci tetapi tidak diendahkan. Anggota kita kemudiannya
bertindak mengumpil pintu gril itu untuk masuk ke dalam rumah sebelum
mendapati ada dua lelaki di dalam bilik".
"Dua
lelaki yang masing-masing berumur 22 dan 19 tahun itu cuba melarikan
diri namun bergelut dengan anggota yang cuba menahan mereka," katanya.
Mohd
Shukri berkata pemeriksaan di dalam bilik itu menemui dadah yang
disyaki heroin dengan berat anggaran 2.8 kilogram dan ganja seberat satu
kilogram.
Heroin
itu dibungkus dalam paket-paket kecil yang dipercayai untuk dijual
secara runcit di Taiping dan daerah lain, katanya. Beliau berkata turut
dirampas ialah pelbagai barangan yang dipercayai hasil daripada jualan
dadah sejak suspek bergiat aktif dalam kegiatan itu tiga tahun lepas.
Barangan
sita yang dirampas itu bernilai keseluruhan kira-kira RM250,000
antaranya dua buah kereta, empat buah motosikal, wang tunai berjumlah
kira-kira RM2,000, dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan
beberapa buku bank.
Mohd
Shukri berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga 10 April yang kes
disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA