Empat Ditahan Berhubung Kes Pecah Rumah Dan Curi Kenderaan D
Kangar,
24 Jan - Pihak polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kejadian pecah
rumah dan mencuri kenderaan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang ekoran
tertangkapnya empat lelaki yang berumur antara 22 hingga 31 tahun pada 6
Jan lalu.
Ketua
Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata menerusi operasi yang
dibuat dengan bantuan Pasukan Petugas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu
Pejabat Kontingen Kedah telah membuat beberapa siri tangkapan ke atas
suspek dan merampas barangan yang dipercayai dicuri dari mangsa.
Beliau
berkata suspek dipercayai terbabit dalam dua kes pecah rumah dan curi
kenderaan pada 2 Dis tahun lalu di Taman Temak Jaya dan Taman Simpang
Jaya, Simpang Empat dekat sini yang melibatkan kehilangan dua buah
kereta iaitu Toyota Camry dan Toyota Vios.
Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, mencuri dan pecah rumah, katanya.
Beliau berkata dua daripada mereka merupakan peniaga kedai makan dan selebihnya merupakan mekanik dan buruh.
Zull
Aznam berkata suspek yang bekerja sebagai buruh itu didapati positif
dadah dan telah dituduh di mahkamah pada 13 Jan sementara tiga lagi
direman sehingga 29 Jan ini.
Beliau
juga berkata seorang peniaga kain berumur 34 tahun telah ditahan di
Taman Seri Embun di sini pagi tadi kerana terlibat dalam kegiatan kongsi
gelap.
"Dua
bilah parang panjang, dua bilah pedang, sehelai kemeja putih tertera
gambar naga dan sijil watikah yang tertera logo serta perkataan 'To
Black Dragon' sebagai 'Kekanda Kumpulan 368 Kedah' adalah antara
barangan yang dirampas daripadanya," katanya.
Sumber : BERNAMA