
Elemen Jabatan Kdnka Berperanan Besar Dalam Pertahan Keselamatan Dan Ketenteraman Awam Negara Kpn
Kuala Lumpur, 27 Oktober 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) telah melancarkan pelbagai operasi bersepadu dengan mengatur gerak aset-aset milik Pasukan seperti kereta perisai, Unit Berkuda, bot marin, helikopter dan “drone” demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam negara terjamin.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, berikutan ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks, Jabatan KDNKA telah menggerakkan kesemua elemen di bawahnya secara “total”, khususnya dalam usaha meningkatkan keselamatan di pintu-pintu masuk sempadan negara.
“Jabatan KDNKA telah membuat 4,356 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM789.99 juta menerusi 6,476 kes yang dilaporkan sejak Januari hingga September 2023.
“Antara kejayaan yang dikecapi ialah Cawangan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas, telah membuat tangkapan dan rampasan terhadap pelbagai barangan makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM21 juta,” ucap beliau sempena Perhimpunan Bulanan KPN bagi bulan Oktober anjuran Jabatan KDNKA, Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Tambah beliau lagi, Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am juga tidak ketinggalan menyumbang kejayaan apabila berjaya merampas sebanyak 495 kilogram dadah disyaki jenis Syabu dianggarkan bernilai RM17.8 juta.
Manakala Pasukan Simpanan Persekutuan pula telah berjaya melaksanakan sebanyak 28 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM37.3 juta.
Sementara itu, Pasukan Polis Marin telah menahan seramai 64 individu melibatkan 110 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM37.1 juta melalui Op Kontraban yang dilaksanakan.
Tan Sri Razarudin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada seluruh warga Jabatan KDNKA atas kejayaan yang diperolehi. Beliau berharap agar momentum kecemerlangan serta rekod yang memberangsangkan tersebut diteruskan.
Dalam majlis yang diadakan, Tan Sri Razarudin turut berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaaan kepada 46 pegawai polis dan pegawai awam sebagai menghargai komitmen tugas cemerlang yang telah mereka pamerkan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM dan sebahagian warga kerja Bukit Aman. Jurugambar Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery