
Artikel
Dymm Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando
Ipoh, 7 Julai 2026 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin S...
Ipoh, 7 Julai 2026 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando, di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah bersama Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama ialah Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri, merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.
Majlis dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Sultan Nazrin yang melibatkan tiga pegawai dan 102 anggota daripada 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diketuai oleh DSP Muhammad Ridhuan Basri selaku Pegawai Baris.
Dalam sembah ucapannya, Datuk Seri Saifuddin berkata perasmian Kem Sultan Nazrin Shah bukan sekadar menandakan pembukaan sebuah kem baharu, malah menjadi manifestasi komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan negara bagi mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
Menurut beliau, pembinaan kem tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur, kemudahan dan persekitaran latihan bertaraf tinggi demi memastikan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap optimum bagi mempertahankan keamanan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
Kem Sultan Nazrin Shah dilengkapi dengan 53 fasiliti utama yang menyokong keperluan operasi, latihan, logistik, pentadbiran dan kebajikan warga pasukan. Antara kemudahan yang dibangunkan ialah Kompleks Tempur Jarak Dekat, Lapang Sasar Tertutup, Kompleks Latihan Akuatik, Menara Tempur serta Lapang Sasar sepanjang 1.2 kilometer yang merupakan antara fasiliti terbaik dan terpanjang di Malaysia.
Keseluruhan kemudahan tersebut membolehkan latihan dilaksanakan secara lebih realistik, sistematik dan berkesan, sekali gus memperkukuh profesionalisme, kompetensi serta kesiapsiagaan warga 69 Komando dalam melaksanakan pelbagai operasi berisiko tinggi demi keselamatan negara.
Majlis turut diserikan dengan demonstrasi kemahiran menembak oleh penggempur 69 Komando serta persembahan payung terjun membabitkan enam penerjun daripada unit elit berkenaan yang mempamerkan keupayaan, ketangkasan dan tahap profesionalisme pasukan.
Majlis diakhiri dengan Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak Kem Sultan Nazrin Shah sebagai simbolik perasmian kem berkenaan.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM serta Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.