"Saya telah melihat unit ini berkembang daripada hanya sebuah unit yang kecil dengan empat buah kapal terbang ke sebuah organisasi yang besar yang mempunyai 27 pesawat dan empat buah pangkalan di seluruh negara. Apa yang akan saya rindui apabila meninggalkan jawatan ini ialah semangat 'Esprit De Corps' yang tinggi dalam Jabatan KDN/KA, yang jarang kita jumpa sama ada di cawangan lain dalam PDRM mahupun di agensi-agensi kerajaan yang lain," ujar YDH SAC Dato' Chuah Ghee Lye, Komander Unit Udara di dalam ucapannya di Majlis Serah Terima Tugas Komander Unit Udara PDRM.
Majlis Serah Terima Tugas
hari ini menyaksikan jawatan Komander Unit Udara Polis Diraja Malaysia
yang dipegang oleh YDH SAC Dato' Chuah Ghee Lye bertukar tangan kepada YDH ACP Kamarulzaman bin Md Jan yang akan memangku jawatannya di
Majlis Serah Terima Tugas Komander Unit Udara Malaysia yang disaksikan
oleh YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar, Pengarah Jabatan KDN/KA PDRM di Pangkalan Semenanjung Unit Udara Malaysia Sungai Besi, Kuala Lumpur.
YDH
SAC Dato' Chuah Ghee Lye telah berkhidmat di Unit Udara PDRM selama 29
tahun dengan memulakan tugas sebagai juruterbang PDRM dengan pangkat
Inspektor pada tahun 1981. Pada 29 Januari 2007, beliau telah memegang
jawatan sebagai Komander Unit Udara PDRM. Di dalam tempoh 29 tahun itu,
beliau telah menimba banyak pengalaman semasa bertugas di Unit Udara
PDRM dan kini akan menerajui Polis Kontijen Melaka pada 31 Disember
2010.
Melalui ucapannya juga beliau menyatakan, selaras dengan perkembangan tersebut, peranan dan fungsi Unit Udara PDRM telah di perluaskan daripada hanya sebagai Unit Sokongan untuk Polis Marin pada ketika itu sehinggalah kepada pelbagai khidmat sokongan udara kepada seluruh pasukan dan agensi kerajaan pada hari ini.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya dalam tugas dan tanggungjawab kepada Komander Unit Udara PDRM yang baru yang beliau telah kenali selama 30 tahun semasa Kursus Pengesahan Jawatan di Maktab Kuala Kubu Bharu pada 1980 dalam melaksanakan tugas dan menghadapi cabaran bagi meluaskan fungsi dan peranan Unit Udara PDRM. Antaranya pemindahan Pangkalan Semenanjung dari Sungai Besi ke Subang, Penubuhan Pangkalan-pangkalan Wilayah di seluruh negara, kekurangan aset-aset udara dan kelengkapan operasi dan pengaliran keluar juruterbang dan jurutera PDRM ke sektor swasta.
"Di sini saya ingin menyeru kepada dan mengharapkan agar kerjasama erat dan sokongan yang padu dapat diteruskan kepada Komander Unit Udara PDRM yang baru, saya percaya dengan pengalaman dan kewibawaan tinggi yang dimiliki ACP Kamarulzaman bin Md. Jan, beliau berupaya memimpin Unit Udara PDRM dengan lebih cemerlang,"ucap beliau diakhir ucapannya.Di dalam majlis tersebut, turut diadakan upacara penyampaian Cek Sumbangan kepada balu Allahyarham Insp. Mohd Shukri bin Othman, Puan Syamila binti Halim yang maut akibat nahas akibat kemalangan udara yang berlaku di Malim Nawar pada 14 Disember 2010 yang lalu. Sumbangan tersebut telah disumbangkan oleh Syarikat Systematic Aviation Services dan Insurans Kelompok Koperasi Polis berjumlah RM 20 ribu. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah YDH SAC Dato' Wira Muhammad Sabtu bin Osman, Timbalan Pengarah (Kepolisan/Pencegahan Jenayah) Jabatan KDN/KA, YDH SAC Dato' Salleh bin Md. Rashid Timbalan Pengarah (PGA/PGRSN Sempadan/ Kawalan Keselamatan Lapangan Antarabangsa) Jabatan KDN/KA serta dif-dif jemputan dan wakil-wakil media tempatan.

YDH SAC Dato' Chuah Ghee Lye menyerahkan Sijil Serah Terima Tugas Komander Unit Udara PDRM kepada YDH ACP Kamarulzaman bin Md Jan sambil disaksikan oleh YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar, Pengarah Jabatan KDN/KA PDRM.

YDH CP Dato' Khalid bin Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Insp. Mohd Shukri bin Othman, Puan Syamila binti Halim
Jurufoto :
Wartawan : L/Kpl Mohd Shareel bin Shahriman
Penyunting : C/Insp Norsuzila binti Kamaruldin