Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Dua Sindiket Edar Dadah Tumpas

Published: 19 Jun 2014 2.42 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Dua sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergerak aktif di daerah ini lumpuh dengan tertangkapnya enam suspek bersama bahan terlarang keseluruhannya bernilai RM450.000...
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/dua-sindiket-edar-dadah-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 09:23 MYT

Dua sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergerak aktif di daerah ini lumpuh dengan tertangkapnya enam suspek bersama bahan terlarang keseluruhannya bernilai RM450.000.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejayaan itu dicapai menerusi dua serbuan yang dilakukan di Kampung Parit Bulat dan Kampung Parit Raja di sini kelmarin dan Selasa lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan di Kampung Parit Bulat pada pukul 1 petang kelmarin, lima lelaki berusia antara 16 hingga 40 tahun ditahan termasuk seorang warga Indonesia.

"Dalam serbuan itu, seorang pelajar yang berusia 16 tahun turut ditahan semasa berurusan untuk membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini semalam.

Tambah Azman, polis juga merampas tiga bungkus heroin seberat 630.7 gram, dua bungkus syabu 6.85 gram bernilai RM325,000 dan satu laras senapang angin berukuran 87 sentimeter panjang.

Turut dirampas, katanya, satu alat penimbang digital yang percayai digunakan untuk aktiviti menjual dadah, wang tunai RM565 dan tiga beg pinggang.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada mereka terlibat dengan kegiatan jenayah lain dan kelima-limanya direman sehingga 20 Mac ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, kata beliau, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Parit Raja di sini pukul 5.45 petang Selasa lalu, seorang lelaki 42 tahun ditahan bersama heroin seberat 225.29 gram serta syabu sebanyak 1.53 gram bernilai RM125,000.

Jelasnya, suspek terbabit direman sehingga 11 Mac ini dan kedua-dua kes dadah tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : Kosmo

ArticlePublished 19 Jun 2014 2.42 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM